Celine Chuang mencipta sejarah apabila menjadi pemain bola sepak wanita pertama Malaysia yang beraksi dengan kelab bola sepak gergasi Jerman, FC Bayern Munich.
Perkara itu didedahkan oleh laman rasmi FAM dengan menyatakan bahawa pemain berusia 15 tahun itu menyertai skuad kedua B-17 wanita FC Bayern sejak Julai lalu.
Beliau berkongsi minat dan keghairahannya terhadap sukan bola sepak bermula selepas menyaksikan sendiri aksi kakak serta abangnya di atas padang.
“Saya memulakan latihan secara serius di dalam sukan ini lebih kurang empat tahun lalu ketika berusia 11 tahun di Persatuan Sukan Bintang Biru (PSBB), Pulau Pinang.
“Teknik baru serta menyeronokkan yang boleh dipelajari adalah salah satu faktor saya jatuh hati terhadap sukan ini selain membantu saya mengekalkan kesihatan minda apabila berhadapan tekanan.”
Celine kemudian membuat keputusan berhijrah ke negara jiran bagi menjalani latihan bersama Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP) Cruzeiro di Phuket, Thailand selama dua tahun.
“Ketika mengikuti latihan di Malaysia, saya banyak mempelajari tentang asas bola sepak. Namun, di Thailand pula, latihannya lebih sengit dan mendalam kerana saya berlatih setiap sepanjang minggu di bawah metodologi Cruzeiro.”
Kehidupan Celine berubah apabila keluarganya membuat keputusan untuk berhijrah ke Jerman, bagi mengikuti jejak abangnya untuk mendapatkan pendidikan di Munich.
Bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak profesional di Liga Jerman (Bundesliga) dan Piala Dunia, Celine mengambil keputusan berani untuk menghadiri sesi pemilihan bersama Bayern, Februari lalu.
“Segala usaha saya selama ini ternyata berbaloi apabila saya diumumkan antara 10 pemain baharu yang terpilih untuk menyertai skuad kedua wanita B-17 FC Bayern Munich.
“Saya juga sangat bersyukur apabila telah diberi peluang untuk beraksi bersama skuad lelaki FC Wacker München e.V.”
Dengan pengalamannya berlatih bersama skuad lelaki B-13 dan B-15 di Thailand, Celine sudah biasa bermain di samping rakan sepasukan.
“Beraksi dan berlatih bersama FC Wacker Munchen e.V banyak mengajar saya untuk memperbaiki teknik selain mendidik saya untuk jadi lebih berkeyakinan.”
Berkongsi pula pengalamannya sepanjang empat bulan berlatih di Jerman, Celine menyatakan bahawa pada awalnya, beliau mengambil masa untuk membiasakan diri berlatih dalam cuaca sejuk selain perbezaan bahasa juga menjadi salah satu cabaran yang perlu dilaluinya.
“Walaupun perlu berdepan dengan pelbagai cabaran, komuniti di sini sangat ramah dan mengalu-alukan kedatangan kami di sini (Jerman). Saya telah berupaya untuk menyesuaikan diri selepas menetap di sini sejak Jun lalu.
“Bagaimanapun kami kini hanya menjalani latihan secara online selepas pertandingan dan liga di sini telah dibatal serta ditangguhkan kerana pandemik COVID-19.”
Nama Celine kini mula mendapat tempat di dalam kalangan penyokong bola sepak Jerman susulan kejayaan beliau menjaringkan satu gol untuk pasukan lelaki B-15 Wacker Munchen e.V dan satu lagi gol bersama pasukan kedua B-17 wanita FC Bayern Munich.
Di peringkat antarabangsa, Celine menjaringkan gol pertamanya ketika beraksi dengan skuad B-15 wanita negara ketika menewaskan Cambodia 2-1 di Chonburi, Thailand pada AFF Wanita B-15 2019.