Liga Super Malaysia Berita

Disebabkan COVID-19, jadual Liga Malaysia dan Piala Malaysia dipinda

Peningkatan kes COVID-19 ketika ini memaksa Malaysian Football League (MFL) membuat keputusan untuk meminda jadual perlawanan Liga Super.

Ini terutamanya pindaan untuk perlawanan melibatkan Sabah dan UiTM FC yang sepatutnya diadakan di Kota Kinabalu.

“Venue bagi perlawanan antara Sabah melawan UiTM FC pada 10 Oktober 2020 di Stadium Likas, Kota Kinabalu akan dimaklumkan kelak,” kata CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

“Ini berikutan bandaraya Kota Kinabalu telah diisytihar sebagai zon merah dan telah menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

“Lanjutan daripada itu, pihak Sekretariat MFL sedang mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pasukan bagi penjadualan semula dan tarikh itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat sebelum undian TM Piala Malaysia.”

Pindaan jadual perlawanan turut melibatkan Perak dan Kedah di Stadium Perak, Ipoh dan Terengganu menentang Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Ghani berkata, disebabkan faktor perebutan tempat kedua Liga Super dan perlawanan menentukan kedudukan bagi undian TM Piala Malaysia, tarikh kedua-dua perlawanan itu yang sebelum ini dijadualkan pada 10 Oktober, telah dipinda pada 11 Oktober iaitu hari Ahad.

Disebabkan pindaan tersebut, ia akan memberi kesan kepada tarikh sepak mula bagi pertandingan Piala Malaysia 2020 peringkat pusingan pertama 16 pasukan.

Justeru, undian Piala Malaysia 2020 yang dijadualkan pada 12 Oktober 2020 ditunda pada 19 Oktober 2020 sebelum membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober 2020 berbanding jadual asal pada 16-18 Oktober 2020.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan keadaan semasa COVID-19 yang sedang meningkat dan MFL berprihatin kepada permasalahan yang berlaku,” kata Ghani.