Norizam Tukiman akhirnya melengkapkan pengambilalihan pasukan Kelantan apabila membeli saham bernilai RM3 juta, sekali gus menjadi pemegang saham terbesar The Red Warrior.
Pakar pelaburan dan usahawan itu juga telah menyumbang wang pendahuluan sebanyak RM3.8 juta bagi menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji pemain termasuk yang melibatkan kes FIFA serta tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Perkara pertama yang kita fokuskan ketika ini adalah kepada lesen kelab dan proses penswastaan.
“Kita juga menyelesaikan semua hutang yang disenaraikan melibatkan tunggakan gaji pemain dan yang ada kes FIFA.
“Jadi kita bayar RM3 juta untuk pembelian saham dan kita dahulukan RM3.8 juta kepada KAFA untuk selesaikan semua hutang yang ada. Jadi jumlah perbelanjaan adalah RM6.8 juta.”
Norizam juga memberikan sebab beliau membuat keputusan untuk melabur kepada pasukan Kelantan dan berharap dapat kembali ke Liga Super.
“Ini bukan satu tindakan terburu-buru, saya dah buat kajian dan Kelantan adalah pasukan yang paling unik di Malaysia kerana mempunyai sokongan nombor satu di Malaysia, nombor dua adalah Kedah dan ketiga adalah JDT.
“Jadi kita perlu fokus, tidak boleh hampakan peminat, sebab ini adalah sukan negeri. Sebab itu, Kelantan perlukan pengurusan yang stabil dan dalam 5 hingga 10 tahun tidak mustahil boleh disegani semula.”
Pada masa sama, Norizam juga mengakui beliau tidak kisah jika mengalami kerugian di masa akan datang, kerana beliau menganggap ia sebagai satu pelaburan yang berbaloi.
“Saya dah melabur 20 tahun dan saya membuat keputusan dari segi masa depan.
“Saya tak berharap bila saya ambil alih pasukan Kelantan, saya akan dapat pulangan esok. Saya tahu saya tak untung apa-apa buat masa ini. Dalam bulan akan datang pun sudah tentu saya akan rugi.
“Tapi kalau saya nakkan pulangan, saya kena berkorban. Tidak ada hasil tanpa pengorbanan dan sebab itu saya perlu positif.
“Tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang adalah untuk kembalikan keyakinan peminat. Buat masa ini, kita perlu bina keyakinan pemain kepada pengurusan baru, peminat pun kena yakin dengan pengurusan baru.
“Kita juga kekalkan identiti dan tradisi pasukan Kelantan buat masa ini. Tapi kita akan bincangkan juga, mungkin akan buat sedikit perubahan.”
Norizam juga menempelak isu kenegerian yang ditimbulkan sesetengah pihak, sambil menyifatkan ia bukan satu masalah untuk orang Johor membangunkan bolasepak Kelantan.
“Tak ada isulah. Vincent Tan beli Cardiff City tak ada orang marah pun.
“Kalau yang main dekat JDT pun boleh ada pemain Kelantan, apa salahnya.
“Saya cuma harap pemain dan peminat boleh terima saya sebagai pemilik.”
Pada masa sama, Norizam memberitahu para pemain, jurulatih dan kakitangan pasukan Kelantan bahawa mereka tidak perlu bimbang lagi mengenai masalah tunggakan gaji.
“Kalau pemain tak ada duit, beritahu saya. Tak payah kita perlu jual pemain, jual kepercayaan peminat, jumpa bookie dan sebagainya.
“Kalau tak ada duit jumpa saya, pakai Porsche saya pun tak apa. Janji jangan jual perlawanan dan tipu peminat.”