Kerajaan akhirnya memberikan kebenaran kepada pasukan Liga Malaysia untuk mengadakan sesi latihan bersentuhan pada 15 Julai dan menyambung saingan liga pada 15 Ogos ini.
Pengumuman dari Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dicapai selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.
Malah, pengusaha-pengusaha padang komersial, operator gelanggang futsal, fasiliti sukan dan akademi juga dibenarkan beroperasi semula bermula 15 Julai.
Penganjuran kejohanan dan pertandingan seperti Liga Malaysia boleh diadakan tanpa penonton.
Bagaimanapun, aktiviti sukan dan penganjuran kejohanan perlu diadakan dalam keadaan terkawal oleh operator premis dan penganjur acara dengan SOP Am Pengurusan, SOP Am Prapenganjuran dan SOP Am Penganjuran yang perlu dipatuhi.
Antara SOP yang perlu dipatuhi termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera, saringan suhu badan, sanitasi peralatan selepas setiap penggunaan dan kawalan bilangan petugas.
Semua SOP akan dimuat naik oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat untuk rujukan.
Bagaimanapun, penganjuran acara antarabangsa melibatkan peserta dari luar negara adalah tidak dibenarkan buat masa ini.
Jika begitu, saingan AFC Champions League yang melibatkan JDT dengan pihak lawan dari luar negara tidak akan dapat dilakukan.
Perkara yang sama akan berlaku kepada skuad kebangsaan yang akan bersaing dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada bulan Oktober nanti.