Liga Premier Malaysia Berita

KAFA mahu jumpa Reezal Merican

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid mengesahkan pihaknya mengemukakan surat kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk mengadakan pertemuan rasmi.

Beliau berkata, pertemuan itu dibuat bagi mendapatkan pandangan dan nasihat mengenai masalah kewangan yang dihadapi Kelantan FA ketika ini.

“Kami telah berusaha dan berikhtiar dengan pelbagai cara selain melaksanakan beberapa perancangan bagi menyelesaikan kemelut ini.” katanya kepada Sinar Harian.

“Sebab itulah, KAFA amat berharap sangat untuk mengadakan pertemuan berkenaan bagi meminta pandangan serta nasihat mengenai situasi yang sedang kami alami ketika ini.”

Pertemuan juga mahu dibuat selepas KAFA bakal menghadapi sekurang-kurangnya lapan lagi kes FIFA yang melibatkan pemain import dan jurulatih.

Ini akan menambah bebanan kepada hutang dan tunggakan gaji sedia ada bernilai RM5 juta.

“Kami tetap komited untuk menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji ini; sama ada daripada pemain tempatan atau pun daripada bekas pemain import,” kata Muzakkir.