Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hari ini meminta derma dan sumbangan peminat bagi menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain import, Cassio Francisco De Jesus yang berjumlah RM629,620.28 yang perlu diselesaikan sebelum sambutan hari raya Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, sumbangan itu amat diperlukan bagi menyelamatkan pasukan Pantai Timur daripada menghadapi hukuman gantung daripada FIFA.
“KAFA tidak mempunyai banyak masa, tambahan pula Liga Malaysia direhatkan kerana pandemik Covid-19 dan kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyukarkan pihak persatuan untuk mendapat sumber kewangan mencukupi membayar tuntutan sejumlah itu.
“Ditambah lagi segala urusan niaga bersama rakan kongsi termasuk jualan jersi terhenti pada masa ini, dan bakal penaja yang dijadualkan akan bersama kita Jun ini juga mengambil langkah berdiam diri.
“Sekiranya KAFA tidak dapat menjelaskan apa juga tuntutan yang diarahkan oleh FIFA, ia akan merumitkan persatuan untuk membentuk pasukan bersaing di Liga Perdana dan berkemungkinan KAFA akan dikenakan tindakan lebih berat.”
KAFA turut memberitahu cara-cara untuk memberikan sumbangan kepada pasukan tersebut.
“KAFA memohon bantuan orang ramai terutama peminat dan penyokong bola sepak Kelantan untuk menderma kepada KAFA seberapa yang mampu secara atas talian ke nombor akaun bagi membolehkan KAFA membayar segala tuntutan yang diarahkan oleh FIFA.
“Pihak KAFA juga akan memaklumkan jumlah kutipan ini dari masa ke semasa kepada penyokong. Resit derma juga boleh dihantar melalui WhatsApp ke nombor 013-9283293.
“Dengan rasa rendah diri KAFA merayu serta menagih simpati pada semua untuk membantu dalam hal ini demi pasukan kesayangan kita.”
Sebarang sumbangan boleh dilakukan secara aats talian ke akaun Maybank KAFA dengan nombor akaun-5530 1063 0676.