Jurulatih Selangor, B Sathianathan dijangka membuat laporan polis pada hari ini selepas sering kali menerima tohmahan berbaur perkauman daripada segelintir penyokong.
Katanya, laporan itu akan memberi pengajaran berguna supaya penyokong tidak lagi menggunakan perkataan yang boleh menyentuh sensitiviti kaum.
“Sebenarnya perkara ini sudah lama saya simpan dan sudah banyak kali.. saya tak ada Facebook tapi orang hantar kepada saya,” katanya kepada Arena Metro.
“Saya kena buat (laporan polis) kerana saya dah memang malas dah nak dengar dan kita ini cakap tapi tak buat apa-apa. Biar ada tindakan.
“Ini bukannya untuk orang-orang yang terkenal atau orang politik sahaja yang polis perlu ambil tindakan, tetapi semua.
“Saya ada peguam, saya ikut peguam, saya adalah rakyat Malaysia, kita sudah merdeka masuk 63 tahun patut kita sudah tahu.”
Walaupun kontroversi tersebut masih belum reda, Sathia tidak terganggu untuk melakukan persiapan pasukan.
“Tak ada gangguan. Lagipun saya tak baca.. cuma benda ini boleh ambil tindakan, jadi saya akan ambil tindakan dan saya buat ini bukan untuk dapat nama atau ada sesetengah cakap saya nak tutup kelemahan taktik, itu lain.. taktik apa.. kita sudah ada lima mata dalam tiga perlawanan lagipun kita main dengan pasukan yang kuat.. jadi buat apa saya nak panik.
“Jika lihat pemain tiada yang boikot, semua beraksi 100 peratus.. saya punya fokus ialah dengan pasukan.. yang perkara ini soal peribadi.”
Selangor terikat 3-3 menentang Terengganu semalam, sekaligus menduduki tangga keeempat liga selepas tiga perlawanan.