Jurulatih Kedah, Aidil Sharin mengakui pasukan seharusnya mampu menjaringkan lebih banyak gol namun terpaksa menerima hakikat apabila tewas 4-3 kepada Terengganu dilaman sendiri.
Katanya, walaupun Kedah menjaringkan tiga gol menerusi Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Renan Alves, mereka mampu untuk menjaringkan lebih banyak gol.
“Kita boleh lihat banyak peluang keemasan melalui percubaan yang dilakukan oleh Hadin Azman, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman hampir mencipta gol,” katanya kepada BH Sukan.
“Cuma yang mengecewakan kita adalah apabila semua percubaan itu gagal menghasilkan gol dan perkara ini sangat jarang berlaku.”
Aidil bagaimanapun tidak terlalu bimbang dengan prestasi pemain kerana pasukannya juga sudah beraksi dengan baik dan menganggap saingan liga masih panjang pada musim ini.
“Saya tidak menyalahkan mana-mana pemain kerana semua berusaha dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh mungkin ini bukan malam buat kami kerana banyak peluang tidak menjadi untuk menghasilkan gol.
“Jika gol ‘menjadi’ pada perlawanan ini saya rasa mungkin kita akan mendapat ‘cerita’ yang berlainan berkaitan keputusan dan saya juga mahu mengucapkan tahniah kepada TFC yang bangkit dengan kesungguhan untuk memburu kemenangan,” katanya.
“Perjalanan liga masih panjang dan kita tidak boleh mudah berputus asa kerana ada pasukan yang tidak bermula dengan baik tapi kembali bangkit dipertengahan hingga ke hujung liga.
“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan apa yang perlu kita lakukan adalah bangkit di perlawanan seterusnya.”