Shopee memperbaharui kerjasamanya bersama Malaysian Football League (MFL) untuk menjadi Pasaran Atas Talian Eksklusif Rasmi buat kali ketiga berturut-turut.
Kerjasama platform e-dagang tersebut bersama MFL, sejak tahun 2018, merangkumi Shopee sebagai penaja kejohanan untuk Piala FA.
Sejak kerjasamanya bersama MFL, Shopee telah merekodkan hasil yang menggalakkan; aksesibiliti tiket pada platformnya membolehkan lebih ramai peminat untuk menghadiri perlawanan.
Pada tahun 2019, kehadiran di stadium meningkat apabila lebih banyak tiket dibeli di Shopee.
Pada tahun sama, pusingan akhir Piala FA menyaksikan jualan 15,000 tiket dalam masa beberapa minit sahaja selepas jualan dibuka.
Tahun ini, Shopee menyediakan kemudahan-kemudahan eksklusif termasuk Laluan Tetamu Khas (Special Guest Lane) dan kawasan tempat duduk yang khusus untuk Shopee.
Bagi perlawanan yang terpilih, peminat bola sepak yang membeli tiket di Shopee boleh menikmati Laluan Tetamu Khas untuk memasuki stadium tanpa perlu beratur bersama pengunjung stadium yang lain.
Kawasan tempat duduk khusus untuk Shopee akan diadakan untuk mereka supaya mereka tidak perlu berasak-asak dengan penonton yang lain bagi mendapatkan tempat duduk yang baik untuk menonton perlawanan.
Shopee juga mengembalikan promosi Beli 1 Percuma 1 kegemaran ramai untuk tiket perlawanan menerusi pelbagai kempen membeli-belah platform tersebut seperti Shopee 3.3 Mega Sale yang berlangsung dari sekarang hingga 3 Mac 2020.
Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin mengalu-alukan pengembalian Shopee pada musim ini.
“Dengan pengesahan Shopee sebagai penaja Piala FA, Liga Malaysia kini berjaya memperoleh tiga penaja.
“Penajaan Telekom Malaysia (TM) akan menyaksikan Piala Malaysia dijenamakan sebagai TM Piala Malaysia dan penajaan CIMB akan menyaksikan Liga Super dijenamakan semula sebagai CIMB Liga Super, manakala Piala FA akan dikenali sebagai Shopee Piala FA untuk musim 2020.
“Kami amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama ini bersama Shopee. Adalah menjadi harapan kami agar lebih banyak organisasi di Malaysia akan berminat untuk mengikuti jejak langkah ini dan menyokong pasukan bola sepak tempatan.”
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan percaya kehadiran Shopee sebagai penaja Piala FA untuk kali ketiga berturut-turut akan menjadikan kejohanan ini lebih menarik kerana ia mendapat liputan yang lebih besar melalui kehadiran pasukan amatur tempatan.
“Jenama Shopee sudah sinonim dengan persaingan Piala FA.”
“Menyambung tradisi yang kami perkenalkan musim lalu, Shopee Piala FA menyaksikan kehadiran kelab amatur yang diberi peluang untuk bersaing dengan kelab elit dari Liga Perdana dan Liga Super. Piala ini melakar sejarah tahun lalu dengan penampilan pasukan amatur terbesar di negara ini.
“Memandangkan jumlah ini terus meningkat, kami yakin bahawa kami berjaya menyuntik lebih banyak debaran dalam kancah bola sepak tempatan.”
Shopee Piala FA 2020 menyaksikan 39 kelab amatur bersaing pada pusingan awal.
Sebaik sahaja perlawanan play-off dan perlawanan pusingan pertama berakhir, 12 kelab amatur akan meneruskan perjuangan mereka menentang 20 pasukan CIMB Liga Super dan Liga Perdana di pusingan kedua.
Tiket ke Shopee Piala FA 2020 boleh didapati dari hari ini di www.shopee.com.my/m/mfl