Liga Super Malaysia Berita

Kelantan FA kemungkinan akan dipotong mata lagi- FAM

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan pihaknya bimbang Kelantan akan dikenakan pemotongan mata selepas mendapati terdapat beberapa pemain import telah melaporkan tunggakan gaji mereka kepada FIFA.

“Kebanyakan pasukan liga mampu untuk membayar tunggakan gaji sebelum musim bermula,” kata Stuart kepada The Star.

“Jumlah tunggakan tidak menjadi masalah tetapi ia menjadi masalah apabila ada pasukan yang masih berhutang dengan pemain daripada beberapa musim sebelum ini.

“Bekas pemain Kelantan seperti Daudsu Jamaluddin dan Khairul Fahmi Che Mat telah bersetuju untuk menerima bayaran tunggakan gaji secara berkala tetapi ada juga mahu dibayar sekaligus. Kita hanya berharap para pemain dan pihak KAFA dapat mencapai persetujuan bersama.”

Musim lepas, Kelantan dipotong tiga mata selepas gagal melunaskan tunggakan gaji bekas pengarah teknikal Alfredo Gonzalez dalam tempoh yang ditetapkan oleh jawatankuasa disiplin FIFA dan hampir tersingkir ke Liga M3.

Tahun ini, Stuart bimbang Kelantan mungkin akan mengalami nasib sama kerana masih berhutang dengan pemain daripada musim-musim sebelum ini.

Pemotongan mata memberi kesan besar kepada pasukan liga.

FIFA memotong enam mata Pulau Pinang kerana gagal melangsaikan gaji pemain import Reinaldo Lobo dalam tempoh ditetapkan, sehingga menyebabkan mereka tidak layak untuk bermain di Liga Super musim ini.

Malah pada 2015, Pahang dikenakan pemotongan enam mata selepas gagal membayar gaji bekas penyerangnya Mohamed Borji pada tempoh ditetapkan, sehingga mereka jatuh ke tangga ketiga liga, sekaligus gagal memberi saingan kepada juara liga ketika itu, JDT.