Eropah Berita

Bellerin, Tierney ditimpa kecederaan

Arsenal mengakhiri badi untuk mendapat kemenangan selepas menumbangkan West Ham United 3-1 di Stadium London. Tiga jaringan yang dihasilkan oleh Gabriel Martinelli, Nicolas Pepe, dan Pierre Emerick Aubameyang sekaligus memberikan tiga mata berharga buat The Gunners.

Namun, terdapat berita yang kurang enak untuk didengari disebalik kemenangan yang dikecapi. Dua pemain pertahanan Arsenal, Hector Bellerin dan Kieran Tierney mengalami kecederaan yang mana ianya berpotensi untuk menggugat barisan benteng pertahanan. 

Berdasarkan laporan Arsenal.com Bellerin terpaksa diketepikan beberapa minit sebelum perlawanan bermula manakala Tierney dikeluarkan pada babak pertama permainan selepas mengalami kecederaan di bahagian bahu.

Pengendali sementara Arsenal, Freddie Ljungberg berkata Tierney terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan di bahagian bahu dan tidak mahu mengambil risiko untuk kehilangan khidmat pemain itu. Maka, lebih selamat jika pemain tersebut dikeluarkan.

Bellerin pula dipercayai mengalami kecederaan hamstring dan digantikan dengan Ainsley Maitland Niles yang mendapat pujian daripada Ljungberg atas persembahan cemerlang yang dipamerkan.

Terdahulu, kedua-dua pemain pertahanan ini diketepikan sejak awal musim ekoran kecederaan yang dialami. Khidmat dua pemain muda ini sangat penting buat The Gunners kerana mereka mampu untuk membantu di bahagian serangan melalui bahagian tepi kiri dan kanan untuk melakukan hantaran lintang.