Malaysia Berita

Malaysia tersingkir dari Sukan SEA 2019

Malaysia menamatkan saingan Sukan SEA 2019 dengan kekalahan mengejut 3-1 kepada Kemboja dalam saingan Kumpulan A, petang tadi.

Skuad kendalian Ong Kim Sweet mempunyai beberapa peluang di separuh masa pertama, namun tidak ada satu pun sepakan tepat dilakukan di hadapan gol pihak lawan.

Separuh masa kedua juga tidak bermula dengan baik apabila barisan serangan skuad negara dilihat tumpul.

Penyerang muda Luqman Hakim Shamsudin juga gagal menyudahkan peluang yang terhidang di hadapan pintu gol.

Kemboja mengambil kesempatan di atas kebuntuan skuad negara dengan menjaringkan gol pendahuluan menerusi In Sodavid pada minit ke-56.

Malaysia yang dilihat terkejut dengan gol tersebut, gagal menghalang Sieng Chanthea daripada menjaringkan gol kedua pada minit ke-57, apabila tendangannya melambung sehingga terkena jaring atas dalam gawang, melepasi Haziq Nadzli.

Skuad negara cuba mengatur semula corak permainan namun mudah dipatahkan oleh Kemboja sehingga mereka berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi Keo Sokpheng pada minit ke-68.

Dalam 10 minit terakhir perlawanan, Malaysia cuba memperoleh gol sagu hati dan Quentin Cheng berjaya melakukannya pada minit ke-90.

Jika dibuat perbandingan, edisi kali ini merupakan prestasi terburuk skuad Sukan SEA di bawah kendalian Ong Kim Swee.

Walaupun skuadnya pernah tersingkir awal pada 2015, Malaysia sekurang-kurangnya menduduki tangga ketiga ketika itu dengan mengutip 9 mata.

Sepanjang kendalian Ong, Malaysia meraih pingat emas pada 2011, sebelum mendapat pingat perak pada 2017 dan tempat keempat pada 2013.

Dalam satu lagi perlawanan, tuan rumah Filipina yang membenam Timor-Leste 6-1 tetap gagal mara ke separuh akhir, selepas Kemboja menewaskan Malaysia sebentar tadi.