Eropah Berita

Spurs kembali bernyawa

Tottenham Hotspur akhirnya bangkit daripada kehampaan apabila mencatat kemenangan besar 5-0 keatas Red Star Belgrade dalam perlawanan ketiga kumpulan B saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Kebangkitan anak buah Mauricio Pochettino ini begitu penting memandangkan mereka gagal mempamerkan persembahan meyakinkan dalam tujuh perlawanan sebelum ini. Kali terakir Spurs memperoleh kemenangan adalah ketika membelasah Crystal Palace 4-0 pada awal September.

Perancang tengah Perancis, Taguy Ndombele memainkan peranan penting dalam aksi menentang kelab Serbia itu.Ndombele yang bertindak sebagai enjin pasukan seringkali mencipta peluang buat rakan sepasukan terutamanya di bahagian serangan. Kehadiran pemain ini juga dilihat seakan-akan menenggelamkan kelibat bintang Denmark, Christian Eriksen yang sekadar memanaskan bangku simpanan.

(Photo by Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images)

Penyerang utama England, Harry Kane mengekalkan rekod bersih apabila berjaya menyumbat dua gol dan ini bermakna dia juga telah menjaringkan gol dalam setiap perlawanan bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah. Dua lagi gol disumbangkan oleh Heung Min Son dan Erik Lamela melengkapkan lima jaringan gol.

Spurs agak garang dalam perlawanan ini dengan mencipta 12 percubaan tepat. Namun, kecekapan dan ketangkasan penjaga gawang pasukan pelawat, Milan Borjan berjaya menafikan beberapa percubaan bahaya yang berpotensi menambah derita pasukan. Red Star Belgrade turun dengan beberapa tonggak utama seperti Marko Marin dan Rajiv van la Parra yang juga merupakan adik kepada bintang tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum.

Pochettino tidak seharusnya berpuas hati kerana pasukannya akan bertandang ke Anfield pada awal pagi isnin bagi mengharungi perlawanan seterusnya dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Skuadnya perlu berhati-hati kerana Liverpool masih belum tewas di gelanggang sendiri pada musim ini dan mereka juga agak kebal. 

Sekurang-kurangnya, kemenangan ini akan memberi tonik dan semangat buat anak buah Pochettino untuk kembali bangkit memberi saingan dalam liga. Tambahan pula, Spurs yang layak ke final  musim lalu tewas dua daripada tiga perlawanan awal dalam peringkat kumpulan. Ini membuktikan mereka mampu bangkit pada masa yang diperlukan.