Malaysia Berita

Dua Tahun Kendali Skuad Negara, Dua Tugas Berat Menanti Tan Cheng Hoe

Setelah kontrak Tan Cheng Hoe dilanjutkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selama dua tahun. Dua tugas besar diletakkan sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk membimbing pasukan Harimau Malaya dengan cabaran yang lebih tinggi menanti Cheng Hoe.

Sebelum ini bekas pengendali Kedah berjaya membawa Harimau Malaya layak ke final Piala AFF tahun lalu. Biarpun tewas ke atas Vietnam, beliau sudah memenuhi KPI yang diletakkan dengan membawa Harimau Malaya layak ke final.

Memetik kata-kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi kepada Berita Harian,”Seperti dinantikan, FAM melantik semula Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih skuad kebangsaan bagi memberi peluang untuk beliau meneruskan agendanya dan membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi.

“Cheng Hoe bersedia menerima cabaran jadi kita memuktamadkan pelantikan beliau sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya dengan kontrak sehingga penghujung 2020. Dengan pelantikan ini, kami harap ia dapat menghilangkan segala spekulasi selama ini.

“KPI lebih tinggi diletakkan iaitu mara ke final Piala Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2020 dan juga layak ke saingan Piala Asia 2023. Ini bukan setakat KPI kepada Cheng Hoe tetapi turut menjadi keutamaan kepada FAM sendiri,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat JPPK di Wisma FAM, hari ini.

Tan Cheng Hoe yang berjaya membawa falsafah beliau kepada pasukan telah memberi impak positif kepada pasukan negara sehingga menjadi naib juara Piala AFF.

Beliau juga menjadi buruan skuad Liga Super sebelum ini apabila ada beberapa pasukan yang menunjukkan minat keatas beliau. Tetapi FAM bertindak pantas dengan mengikat beliau sehingga tahun 2020.

Selain daripada itu, KPI sama yang diletakkan oleh FAM untuk Tan Cheng Hoe layak ke final Piala AFF 2020 dilihat tidak akan menjadi masalah untuk pengendali negara tersebut serta FAM percaya Cheng Hoe tiada masalah untuk menjuarai kejohanan tersebut.

“Kita meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu Piala Asia 2023, jadi ini bermakna saingan Piala AFF akan nampak lebih mudah. Malah kita juga sepatutnya boleh memenangi kejohanan Piala AFF 2020.

“Dengan sasaran lebih tinggi juga, sudah tentu kualiti pasukan jauh berbeza daripada apa kita lihat pada edisi lalu. Mungkin sasaran sebegini tidak menampakkan tekanan kepada jurulatih.

“Namun dalam erti kata lain, dengan meletakkan sasaran beraksi di final Piala AFF 2020, ini bermakna kita perlu menjadi juara,” katanya.