Malaysia Berita

Syahmi Tak Tertekan Dengan Tanda Harga RM6 Juta

Pertahanan kanan Selangor, Syahmi Safari bersedia untuk membuktikan bahawa tanda harga beliau bersamaan dengan persembahan beliau.

Pemain berusia 21 tahun yang mempunyai nilai pelepasan sebanyak RM6 juta berazam untuk menunjukkan kepada peminat serta pengkritik bolasepak bahawa beliau adalah antara pemain muda yang berharga.

Justeru, bagi Syahmi tiada tekanan untuk beliau beraksi cemerlang bersama pasukan Selangor malah akan menjadikan tekanan tersebut sebagai motivasi untuk beliau mempersembahkan aksi yang lebih konsisten.

“Tiada tekanan dengan klausa pelepasan itu kerana bagi saya, ia dapat menjadi motivasi bukan sahaja kepada saya tetapi juga buat rakan seangkatan yang sama usia dengan saya.

“Saya berpandangan ini sebagai satu inisiatif yang bagus daripada pihak pengurusan dan saya mengambil positif perkara ini bagi memajukan lagi diri saya.

“Mungkin ketika ini rezeki saya bersama Selangor dan ini juga komitmen jangka panjang saya untuk pasukan ini. Apapun, saya akan memberikan yang terbaik demi Selangor,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Mini 3K, Subang Jaya, hari ini.

Syahmi Safari yang membantu Malaysia menjadi naib juara Piala AFF tahun lepas telah menandatangani kontrak baru bersama pasukan The Red Giants. Kontrak selama lima tahun itu bakal menyaksikan beliau akan terus menyarung jersi Selangor sehingga 2023.

FAS juga telah meletakkan tanda harga diantara RM3 juta hingga RM6 juta jika mana-mana pasukan mahu mendapatkan khidmat pemain tersebut serta mengelak daripada terjadi rundingan pintu belakang.