Luar Negara Berita

Messi Akui Mahu Guardiola, Neymar Pulang Ke Barca

Bintang Barcelona, Lionel Messi tidak menyembunyikan perasaan rindu dan gembira jika dapat melihat kembali kelibat Neymar dan Pep Guardioala di Barcelona. 

Neymar adalah sebahagian daripada skuad Barcelona daripada tahun 2013 sehingga ke 2017 sebelum beliau memilih untuk membawa diri ke Perancis bagi menyertai Paris Saint-Germain. Manakala Pep Guardiola adalah individu yang bertanggungjawab mencorak Lionel Messi sehingga beliau menjadi pemain bolasepak terhebat yang pernah dilahirkan.

Gandingan Neymar dan Messi daripada tahun 2013 sehingga tahun 2017 telah menyaksikan mereka merangkul La Liga dan satu trofi Liga Juara-Juara. Keputusan pemain kelahiran Brazil itu untuk keluar daripada Barcelona adalah kerana ingin lari daripada bayang-bayang Messi.

Terbaru, timbul beberapa spekulasi yang mengatakan bahawa Neymar ingin pulang menyarung jersi Barcelona bersama rakan senegaranya, Arthur yang dikaitkan dengan juara Sepanyol itu.

“Saya melihatnya sebagai rumit,” kata Messi. “Kami cukup gembira jika dia kembali atas apa yang dimilikinya, kedua-duanya sebagai pemain dan di bilik persalinan.

“Kami adalah sahabat, kami sudah mengharungi tempoh yang amat bermakna, dan juga kurang menyenangkan, tetapi kami banyak menghabiskan masa bersama-sama.

“Tetapi saya merasakan amat sukar untuk dia meninggalkan Paris. PSG tidak akan membiarkan Neymar dibawa pergi,” kata kapten Barca itu yang turut berharap bekas pengurus, Pep Guardiola kembali mengemudi kelab itu.

Guardiola adalah individu penting yang mencorakkan gaya permainan baru kepada pasukan Barca. Melalui beliau, Barca telah memenangi tiga gelaran La Liga, dua Liga Juara-Juara dan dua Copa Del Rey serta pelbagai jenis gelaran lagi.

Beliau yang kini mengendalikan Manchester City sudah beberapa kali menyuarakan keinginan beliau untuk pulang ke Barca dan mengakui teruja jika dapat berbuat demikian.

“Sekalipun ia sukar, saya pasti gembira untuk bekerjasama dengan Guardiola sekali lagi,” katanya. “Beliau antara jurulatih terbaik di dunia. Kerana itu saya gembira jika dia kembali, tetapi saya memberitahu kamu ia adalah rumit.” – Agensi