Malaysia Berita

FAM Arah Tiga Kelab Lunaskan Gaji Tertunggak

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan arahan membabitkan tiga kelab supaya melunaskan gaji dan pampasan kontrak.

Ia membabitkan pasukan Marcerra United, Terengganu City dan Hanelang FC yang merangkumi keseluruhan kos sebanyak RM161,600.

Keputusan ini dibuat setelah mesyuarat Jawatankuasa Status FAM pada Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub dalam satu kenyataan, hari ini menjelaskan tiga kelab itu diminta menyelesaikan tuntutan berkenaan dalam tempoh 30 hari.

“Jika gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh ditetapkan, apa-apa deposit penyertaan pertandingan, hadiah wang tunai atau apa sahaja kewangan responden yang masih berbaki di FAM akan dibayar terus kepada pengadu.

“Perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi jika sumber kewangan yang dinyatakan di atas masih tidak mencukupi,” katanya.