Akhyar Rashid pemain skuad senior Harimau Malaya dan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara ditagih khidmatnya sekali lagi bagi membantu skuad B-19 tahun negara pada Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Indonesia, bermula Sabtu ini.
Beliau yang berumur 19 tahun menjadi taruhan Bojan Hodak setelah beraksi cemerlang serta menjaringkan beberapa gol penting bersama skuad Tan Cheng Hoe dan Ong Kim Swee baru-baru ini.
Pemain sayap pasukan Kedah ini nyata bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menghadapi kejohanan AFC.
“Saya sentiasa bersedia dan akan memberi yang terbaik sekiranya diturunkan oleh jurulatih,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini sebelum berlepas ke Jakarta.
Ditanya tentang tahap kecerdasan beliau setelah mengharungi dua perlawanan persahabatan bersama skuad senior, pemain kelahiran Kedah ini nyata tidak menunjukkan tanda-tanda yang beliau memerlukan rehat malah bersemangat untuk bersama-sama pasukan.
“Tak (penat). Saya terus datang ke hotel pasukan di Kuala Lumpur dari Melaka. Lagipun malam tadi saya hanya main pada separuh masa kedua dan tidak penat sangat.
“Tumpuan saya sekarang adalah untuk membantu pasukan melangkah sejauh mungkin dan pengalaman bersama skuad senior dan B-23 sebelum ini akan saya gunakan untuk mencari kemenangan dalam setiap aksi,” katanya.
Skuad negara akan berdepan Arab Saudi, Tajikistan dan China dalam Kumpulan D dengan misi memburu tempat ke separuh akhir sekali gus meraih tiket automatik ke Piala Dunia B-20 di Poland tahun depan.