Kemenangan membanggakan skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) ke atas Korea Selatan dalam pentas Sukan Asia 2018 Jumaat lalu seolah-olah petanda kebangkitan bola sepak negara.
Bagaimanapun bagi Irfan Bakti Abu Salim, beliau tetap berpandangan skuad negara perlu dibarisi pemain naturalisasi berbakat sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam sukan nombor satu dunia itu.
“Kejayaan barisan muda negara itu sesuatu yang luar biasa dan harus dipuji kerana aksi terbaik mereka, namun saya bukan berniat untuk memperlekehkan pemain tempatan, tapi pemain naturalisasi perlu ada dalam skuad kebangsaan jika tidak bola sepak negara sukar melangkah lebih jauh,” katanya kepada Berita Harian.
Tambah Irfan, kemenangan tersebut begitu manis buat skuad bola sepak negara selepas sekian lama sejak pasukan kebangsaan layak pada Sukan Asia 1974.
“Pemain muda negara bermain dengan begitu baik dan berdisiplin kerana bukan mudah untuk menundukkan skuad yang dibarisi pemain bintang yang pernah beraksi di pentas dunia, tapi pemain kita membuktikan bahawa mereka lebih layak untuk menang berdasarkan permainan ditunjukkan.
“Saya harap kemenangan itu dapat diteruskan dan perlu dibuktikan lagi apabila bertemu Bahrain esok biarpun sudah mara ke pusingan kedua,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Safawi Rasid muncul wira negara apabila menjaringkan dua gol individu serta aksi luar biasa yang ditunjukkan oleh kesebelasan utama dalam menghalang segala asakan daripada Korea Selatan sehingga memperoleh kemenangan berharga.