Luar Negara Piala Dunia 2018

Dahulu England tak hebat, tapi sekarang sudah berbeza, kata Harry Kane

Kapten England, Harry Kane cukup berbangga dengan pencapaian pasukannya apabila mencipta sejarah buat pertama kali menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 menentang Colombia dalam saingan Piala Dunia kali ini.

Penyerang itu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada separuh masa kedua sebelum jaringan Yerry Mina membolehkan Colombia mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-93.

“Kami berdiri teguh dan tidak akan membiarkannya memberikan kesan kepada kami,” kata Kane.

“Ia malam cukup indah buat England.

“Ini adalah pasukan muda tetapi kami membesar di atas padang malam ini.

“Kami tahu pada masa lalu England tidak begitu hebat dan adalah baik untuk mendapatkannya kembali,” katanya.

Sebelum kemenangan 4-3 menerusi penentuan penalti di Stadium Spartak awal pagi tadi, England tewas tiga kali di Piala Dunia menerusi penentuan penalti.

Tiga daripada empat sepakan penalti juga gagal disudahkan di Kejohanan Eropah termasuk satu membabitkan jurulatih England, Gareth Southgate pada Euro 96 yang menyaksikan Jerman mara ke final.

“Bagaimanapun perjalanan kami masih jauh di kejohanan ini,” kata Kane.

Beliau yang turut menjaringkan gol ketika penentuan sepakan penalti mengharapkan perlawanan akan kurang menakutkan ketika bertemu Sweden dan mara ke pusingan separuh akhir untuk bertemu sama ada Russia atau Croatia.

“Ia memberikan keyakinan yang besar buat kami,” kata Kane yang muncul penjaring terbanyak kejohanan setakat ini.-Reuters