Son Heung-Min memuji kemenangan Korea Selatan 2-0 ke atas Jerman malam tadi dan menganggapnya sebagai mimpi kerana mereka berjaya menyingkirkan juara bertahan Piala Dunia.
Bagaimanapun, ia merupakan kejayaan yang pahit manis buat Son, yang turut menyaksikan pasukannya tersingkir dari kejohanan itu, walaupun menjadi pasukan Asia pertama yang mengalahkan Jerman pada Piala Dunia, dalam keadaan Sweden yang menewaskan Mexico namun kedua-duanya layak ke pusingan seterusnya.
“Kami berjaya mengalahkan juara dunia dan biasanya ia hanyalah mimpi tetapi kami boleh berbangga dengan pasukan ini,” kata Son.
“Sudah tentu ia mengecewakan kerana kami tersingkir tetapi saya boleh berbangga selepas kemenangan ini dan kami boleh berbangga dengan kemenangan ini.
“Kami menewaskan juara dunia dari Piala Dunia yang lalu dan kini saya teruja untuk beraksi di Piala Dunia akan datang,” katanya.
Korea Selatan perlu mencatatkan kemenangan ke atas Jerman dan memerlukan Mexico untuk mengalahkan Sweden bagi merealisasikan harapan tipis mereka untuk layak ke pusingan kalah mati.
Kim Young-Gwon seolah-olah sudah menjaringkan gol kemenangan buat Korea Selatan dalam masa tambahan dengan gol jarak dekat selepas dirujuk oleh Pengadil Bantuan Video (VAR).
Son menggandakan kelebihan pasukannya beberapa minit kemudian selepas Ju Se-Jong merampas bola dari penjaga gawang Jerman, Manuel Neuer yang jauh berada di kawasan pihak lawan sebelum menghantar bola tepat kepada Son untuk menjaringkan gol ke dalam gawang kosong tanpa seorang pun pemain Jerman.
Dengan Sweden mengalahkan Mexico 3-0, pasukan Korea Selatan gagal melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir sejak 2010.
“Saya agak kecewa kerana kami mempunyai banyak pemain yang bagus dan kami tidak dapat mempamerkan aksi kami dalam pusingan seterusnya, tetapi kini kami teruja untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya,” tambah Son.
“Kemenangan ini sangat besar untuk peminat dan pemain kami, kami telah melakukannya dengan baik dan kami gembira dan kami sepatutnya menang, semasa perlawanan kami hanya memberi tumpuan kepada permainan, tidak berfikir tentang perkara lain, kami hanya memberi tumpuan kepada permainan kami,” katanya.
Son turut menegaskan bahawa beliau sentiasa terbuka untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Korea Selatan setiap kali beliau dipanggil, termasuklah pada Piala Asia 2019, Januari depan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Saya akan berada di sana, jika negara saya memanggil saya, saya akan berada di sana dan di mana-mana sahaja,” katanya.
“Saya seorang yang sangat bertuah dapat bermain untuk negara saya dan saya sangat gembira dan rasa bertuah mewakili negara seperti Korea Selatan,” katanya.-Reuters