Argentina. Gergasi bola sepak dunia yang pernah menjulang trofi Piala Dunia sebanyak dua kali.
Tahun 1978 di bawah kendalian Cesar Luis Menotti dan yang paling istimewa pastinya kemenangan pada tahun 1986 yang terinspirasi daripada kehebatan seorang individu, Diego Maradona.
Selepas 1986, Argentina bergelut untuk bersaing merebut kejuaraan Piala Dunia dengan yang paling hampir adalah pada edisi 2014 di Brazil.
Apa agaknya masalah Argentina? Biarpun dibarisi pemain hebat dari dulu seperti Hernan Crespo, Juan Sebatian Veron, Gabriel Batistuta, Juan Roman Riquelme, Pablo Aimar dan kini Lionel Messi, kejuaraan Piala Dunia tetap sukar kembali ke Buones Aires.
Dan, tahun ini nampaknya misi mereka juga malap. Kekalahan 3-0 kepada Croatia seakan-akan merentap semangat pemain Argentina selepas terikat 1-1 dengan Iceland dalam perlawanan pertama.
Tidak dapat dinafikan, Lionel Messi adalah antara pemain terhebat dunia. Kejayaannya bersama Barcelona tidak dapat dinafikan lagi. Tetapi melihat gerak tubuhnya dalam perlawanan bertemu Croatia, dia seakan-akan menyesal datang ke Russia. Mungkin dia juga tahu, Argentina tidak akan mampu pergi jauh dengan skuad yang dibawa.
Di saat pasukan lain mempunyai penjaga gol yang bermain secara kerap dengan kelab masing-masing, Argentina mengharapkan Willy Caballero yang merupakan penjaga gol kedua Chelsea. Barisan pertahanan mereka caca marba biarpun meletakkan gandingan Manchester, Marcos Rojo dan Nicolas Otamendi dalam perlawanan menentang Iceland. Menentang Croatia pula mereka berani meletakkan tiga pertahanan dengan Gabriel Mercado yang berusia 31 tahun dan Nicolas Tagliafico yang merupakan pemain bek bergandingan dengan Nicolas Otamendi. Satu tindakan berani daripada Jorge Sampaoli.
Satu perkara yang nyata, Argentina kekurangan seorang pemain seperti Riquelme. Kekurangan itu menyebabkan mereka terpaksa menggunakan Messi untuk mencari dan membuka ruang. Di Barcelona, Messi mempunyai pemain seperti Busquets, Iniesta dan Rakitic yang bermain menentangnya semalam. Tidak bagi Argentina. Enzo Perez bermula sebagai pemain tengah menyerang, tetapi telah ditukar menjadi pemain tengah bertahan di Portugal. Mascherano pula lebih banyak beraksi sebagai pertahanan tengah bersama Barcelona. Jadi siapa sumber kreativiti kalau bukan Messi?
Satu keputusan yang agak aneh tetapi mungkin memakan diri Jorge Sampaoli adalah dia tidak meletakkan bintang Juventus, Paulo Dybala dalam kesebelasan utamanya selepas dua perlawanan. Bila mereka ketinggalan menentang Croatia baru dia dimasukkan. Kemudian, ego Sampaoli yang menolak pemilihan Mauro Icardi juga satu kesilapan. Bukan mahu menafikan kehebatan Gonzalo Higuain atau Kun Aguero, tetapi Mauro Icardi sebenarnya bagaikan gabungan kedua-dua pemain itu. Dia pantas dan mempunyai ketinggian serta mampu memimpin dari depan.
Lionel Messi akan selamanya dibandingkan dengan Diego Maradona. Maradona berjaya memimpin pasukan yang tidak dibarisi bintang menjuarai Piala Dunia. Dia memberikan inspirasi kepada mereka. Melihat Messi semalam, dia seakan-akan sudah merasa penat dengan beban yang dipikulnya. Setiap kegagalan Argentina pastinya akan ditunding ke arah Messi. Itu yang membuatkan dia bersara sebentara dahulu sebelum kembali memimpin Argentina ke Russia. Perkara ini tidak dibantu dengan prestasi hebat Cristiano Ronaldo, seteru utamanya bersama Portugal yang telah menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan.
Argentina masih mampu ke pusingan seterusnya jika Iceland tewas atau seri dengan Nigeria dan Argentina menewaskan Nigeria dalam perlawanan seterusnya. Namun, melihat kepada aksi Argentina, sukar untuk melihat mereka mara lebih jauh. Dengan permainan dan pertahanan sebegitu, ada kemungkinan Argentina boleh dimalukan seperti yang terjadi pada Brazil empat tahun lalu jika bertemu pasukan lebih hebat.
Buat penyokong Argentina sama ada di Buenos Aires atau di Kuala Lumpur menyarung jersi Padang Besar dan Rantau Panjang, ingatlah lagu nyanyian Julie Covington yang kemudiannya dipopularkan semula oleh Madonna dalam filem Evita: “Don’t cry for me Argentina.”