Saingan Liga Super semakin hangat. Semua pasukan kini cuba untuk mendapat tempat terbaik di Liga Super dan cuba untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.
Antara yang pastinya menjadi penentu adalah jaringan gol. Semua pasukan memerlukan seorang penyerang yang prolifik untuk memastikan mereka dapat menghasilkan gol dan seterusnya memenangi perlawanan.
Melihat kepada kedudukan setiap pasukan di Liga Super, mungkin ramai tidak menyangka kedudukan penjaring terbanyak bukan milik pasukan-pasukan yang berada di kelompok teratas. Tiada penyerang Johor Darul Ta’azim (JDT), Perak atau Pahang berada dalam kedudukan tiga penjaring terbanyak di Liga Super.
Penjaring terbanyak Liga Super setakat ini adalah Rufino Segovia yang telah menjaringkan 12 gol daripada 13 perlawanan! Satu angka yang cukup hebat memandangan Rufino sebenarnya menjaringkan lebih daripada 50% gol Selangor setakat ini di mana Red Giants telah menjaringkan 20 gol.
Dua pemain terikat di kedudukan penjaring kedua terbanyak. Bekas pemenang kasut emas Liga Malaysia, Guilherme De Paula dan penyerang Terengganu Kipre Tchetche kini mengekor rapat Rufino untuk muncul penjaring terbanyak Liga Super Malaysia.
Di tempat ketiga pula, penyerang Melaka United, Yahor Zubovich dan penyerang Perak, Gilmar Filho terikat dengan lapan gol.
Namun, semua jaringan ini bukanlah yang terbanyak di Liga Malaysia kerana setakat ini, penyerang Felcra FC dari Brazil, Anselmo Cassagrande masih mendahului dengan 14 gol di Liga Premier.
Mungkinkah Rufino akan terus berbisa untuk Selangor? Atau adakah Guilherme De Paula akan berusaha untuk mempertahan kasut emas yang dimenanginya musim lalu? Atau pemain dari Liga Premier akan sekali lagi mengatasi penjaring Liga Super untuk memenangi kasut emas Liga Malaysia?