Malaysia Santai

PRU-14: Kenali barisan kabinet bayangan Parti Bolasepak Malaysia

Malaysia bakal menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 pada hari Rabu ini. Seperti biasa, parti yang menang akan membentuk kerajaan dan dari situ jemaah menteri akan dilantik mengikut kredibiliti calon yang menang.

Cuba bayangkan kalau satu hari nanti satu parti yang dianggotai pemain-pemain bolasepak Malaysia memenangi PRU. Bayangkan pula mereka membentuk kerajaan dan dilantik menjadi menteri. Ini bukanlah satu agenda politik, tapi bayangan pemain mana yang sesuai untuk mengisi jawatan menteri di Malaysia.

Berikut adalah bayangan kabinet menteri Malaysia jika sebuah parti bolasepak Malaysia berjaya memenangi PRU di Malaysia suatu hari nanti.

Perdana Menteri/Menteri Kewangan: Safee Sali (PKNS FC)

Ikon kebangkitan bola sepak Malaysia. Beliau memimpin pasukan Harimau Malaya memenangi Piala AFF Suzuki 2010 dan juga memenangi anugerah kasut emas selaku penjaring terbanyak kejohanan. Selain itu, beliau menjadi sebutan dan ikutan bukan sahaja Malaysia malah juga di Indonesia setelah berkelana di negara seberang sana. Menggunakan status ikon beliau, sudah tentu Safee Sali mampu memimpin Malaysia dengan efektif.

Timbalan Perdana Menteri: Norshahrul Idlan Talaha (Pahang FA)

Di saat Safee Sali menggegar arena bola sepak Asia Tenggara, Norshahrul Idlan Talaha merupakan gandingan beliau yang banyak membantu dalam gerakan-gerakan menyerang. Maka sememangnya portfolio sebagai Timbalan Perdana Menteri layak diberi kepada Norshahrul.

Menteri Kesihatan: Brendan Gan (Perak FA)

Pemain kacukan ini telah ditimpa salah satu kecederaan yang ngeri buat para pemain bola sepak iaitu Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebenyak 2 kali! Namun apa yang dapat meletakkan beliau di kedudukan menteri ini adalah bagaimana cekalnya Brendan Gan menjalani rawatan pemulihan dan memastikan kekuatan mental pada tahap tinggi supaya dapat kembali bermain bola.

Menteri Pelancongan & Kebudayaan: Indra Putra Mahayuddin

Kami letakkan beliau setaraf bintang bintang Sweden iaitu Zlatan Ibrahimovic kerana selalu berpindah-randah kelab dan pasukan bola sepak. Beliau juga berkongsi umur yang sama dengan Ibrahimovic, telah bermain bersama Perak, Pahang, Selangor, Kelantan, T-Team, Felda United dan terkini Kuala Lumpur. Cuma setakat ini beliau belum sampai ke pasukan-pasukan di Malaysia Timur.

Menteri Pertanian & Industri Asas Tani: M. Sivakumar (PKNS FC)

Pemain tengah PKNS ini sering mengisi masa lapang dengan hobi yang cukup sesuai untuk posisi Menteri Pertanian, iaitu memancing. Lihat sahaja akaun Facebook pemain ini, selalu ada sahaja video beliau memancing ikan di sungai-sungai yang tidak dikenali orang ramai. Sivakumar mampu menggunakan hobi beliau untuk memperkasakan industri pertanian di Malaysia.

Menteri Pertahanan: Shukor Adan (Felda United)

Siapa yang tak takut dengan Shukor Adan di atas padang? Lihat sahaja corak permainan beliau, biarpun sudah berumur 38 tahun. Masih berdisiplin, masih kental and boleh dikatakan 'no-nonsense' defender. Tatkala politik dunia semakin kucar-kacir, Malaysia sudah tentu memerlukan seorang pemimpin yang bukan sahaja mahir dari segi pertahanan, namun turut mampu menggunakan pengalaman beliau untuk membuat keputusan dalam situasi-situasi yang melibatkan tekanan tinggi.

Menteri Belia & Sukan: Matt Davies (Pahang FA)

Pilihan yang sangat sesuai untuk memegang portfolio ini pada ketika ini dengan status beliau sebagai salah seorang daripada pemain B-23 tahun yang cemerlang prestasinya ketika ini di samping mengepalai pasukan B-23 dalam 2 kejohanan terakhir mereka. Beliau juga sangat popular di kalang penyokong muda bolasepak Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan: Hairuddin Omar (Bekas pemain skuad kebangsaan)

Seperti yang kita semua sedia maklum, Hairuddin Omar merupakan antara bekas pemain bolasepak Malaysia yang sangat bijak mencari karier alternatif selepas persaraannya. Beliau sekarang ini mempunyai rangkaian perniagaan yang maju menerusi syarikatnya iaitu AdeqSue. Dengan pengalaman beliau sebagai seorang usahawan, beliau layak untuk diberikan portfolio ini.

Menteri Komunikasi & Multimedia: Khairul Helmi Johari (Kedah FA)

Dengan skill 'photoshop' beliau yang sangat 'tinggi' tahapnya, beliau sememangnya calon pemain yang sesuai untuk portfolio ini. Rujuk pautan artikel daripada laman FourthOfficial.com - https://www.fourthofficial.com/2017/45418/khairul-helmi-meet-malaysian-wolverine-wanted-sue-ea-sports/

Menteri Pendidikan: Nazmi Faiz Mansor (Johor Darul Ta'zim)

Beliau mampu menjadi contoh ikutan ramai untuk para pelajar terutamanya. Tetap mahu menduduki SPM walaupun telah bergelar pemain kebangsaan Malaysia.

Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar: Joseph Kalang Tie (Selangor FA)

Bekas bintang Sarawak ini merupakan calon yang paling tepat untuk posisi ini. Dia bukan setakat membesar di negeri yang paling kaya dengan sumber alam sekitar di Malaysia, malah Joseph Kalang mula bermain bola di pekan Marudi, sebuah kawasan yang amat sinonim dengan industri pembalakan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat: Steffi Sidhu (Pemain skuad kebangsaan wanita Malaysia)

Steffi Sidhu merupakan antara ikon bolasepak/futsal yang paling popular di Malaysia. Beliau bukan sahaja sedang mewakili skuad futsal kebangsaan di pentas Asia pada waktu ini, malah beliau turut pernah mewakili Malaysia di pentas Sukan SEA tahun lepas. Steffi turut merupakan seorang influencer yang mewakili sebuah jenama sukan yang tersohor, iaitu Adidas.

Menteri Luar Negeri: Natxo Insa (Johor Darul Ta'zim)

Natxo Insa boleh dikatakan pemain kacukan Malaysia yang paling terkenal dari segi reputasi karier. Beliau pernah mewakili Levante di Sepanyol dan cukup dikenali oleh pelbagai pihak di luar negara. Jadi, Insa sudah tentu mampu menjadi pengantara yang cukup tepat dalam situasi-situasi yang melibatkan aspek diplomasi.

Menteri Sains, Teknologi & Inovasi: K. Reuben (PKNS FC)

Bek kiri PKNS ini sudah tentu mampu menjalankan tugas ini dengan cukup mantap kerana beliau mempunyai ijazah dalam bidang Sains & Teknologi. Selain itu, kebolehan Reuben menggunakan platfom Instagram untuk menjalankan kempen marketing bagi PUMA juga wajar dipertimbangkan.

Menteri Pengangkutan: Safiq Rahim (Johor Darul Ta'zim)

Ford Mustang merupakan sebuah pengangkutan yang hebat. Kami merasakan beliau mampu memenangi jawatan ini tanpa bertanding. Ditambah pula dengan selalu dilihat memandu kereta mewah bosnya terutamanya pada awal setiap tahun. Peranannya sebagai 'jentera midfield' Johor DT  turut amat sesuai dengan portfolio ini.

Menteri Pengajian Tinggi: Bryan See (PKNP FC)

Pemain ini tular pada awal musim kerana pencapaian akademik beliau yang boleh dikatakan 'satu dalam sejuta' antara pemain-pemain bola sepak di Malaysia. Merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda di John Hopkins University dan sekarang ini sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Master dalam jurusan Kejuruteraan Sivil, portfolio ini sememangnya sangat sesuai diberikan kepada beliau.

Menteri Tugas-Tugas Khas: Norshahrul Idlan Talaha (Pahang FA)

Adalah sangat sesuai jika Timbalan Perdana Menteri iaitu Norshahrul memegang portfolio ini, kerana selain menggantikan tugas Safee Sali jika Safee berehat atau melakukan tugas lain, beliau boleh menjalankan segala tugasan-tugasan yang terletak dalam bidang tugasan seorang Menteri Tugas-Tugas Khas.

Menteri Dalam Negeri: Shahrel Fikri (PKNP FC)

Sangat tajam di hadapan gol, semestinya beliau lebih daripada mampu untuk menterjemahkan ketajaman tersebut dalam membanteras pelbagai kegiatan jenayah.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air: Rawilson Batuil (Sabah)

Rawilson Batuil mewakili sebuah negeri yang cukup aktif dalam usaha merevolusi teknologi hijau demi melindungi kesejahteraan alam sekitar mereka. Selain itu, portfolio ini juga, secara tradisi, selalunya diberikan kepada calon yang berpangkalan di Sabah atau Sarawak.

Menteri Kerja Raya: Fakri Saarani (Melaka United)

Biarpun hanya berumur 28 tahun, Fakri Saarani sudah pernah menyarung jersi tujuh kelab tempatan berbeza di Malaysia, selain turut bermain di Portugal untuk beberapa bulan. Penyerang Melaka United ini juga pernah bermain untuk Harimau Muda. Dia sering menghabiskan masa yang singkat bersama setiap kelab, seperti seorang kontraktor yang bertukar projek setiap enam bulan. Kami yakin pattern ini mampu membantu Fakri memperbaiki sistem jalanraya di Malaysia, terutamanya dengan pengalaman melihat kondisi jalanraya di Portugal pada tahun 2013.

KONGSIKAN PANDANGAN ANDA

Anda setuju dengan pilihan kabinet bayangan kami? Kami masih mencari calon untuk mengisi beberapa portfolio lain, iaitu:

  1. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan
  2. Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah
  3. Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
  4. Menteri Wilayah Persekutuan
  5. Menteri Sumber Manusia

Kongsikan cadangan-cadangan anda untuk portfolio tersebut melalui ruang komen di page Facebook kami!