Keputusan seri tanpa jaringan yang diraih Bayern Munich di laman sendiri ketika bertemu Hertha Berlin pada 25 Februari lalu jelas menjadi detik yang tidak akan dilupakan Kingsley Coman.
Masuk sebagai pemain gentian, Coman mengalami kecederaan buku lali dalam aksi itu. Sejak itu, dia terpaksa berehat sehingga membuatkannya kemungkinan besar terpaksa melupakan aksi Piala Dunia 2018.
Dia tetap beruntung kerana proses pemulihannya berjalan lancer. Memetik daripada laman web rasmi Bundesligam pemain yang pernah meraih enam kejuaraan liga bersama tiga pasukan berbeza (PSG, Juventus, Bayern) ini menjelaskan keadaannya kini bertambah baik.
“Saya berasa semakin bagus dari semasa ke semasa dan yakin akan sempat pulih untuk beraksi di Piala Dunia 2018,” katanya.
Sehingga kini, Coman telah beraksi dalam 32 perlawanan buat Bayern dalam semua kejohanan, menjaringkan tujuh gol dan mencatat lima bantuan jaringan walaupun kebanyakan aksinya datang dari bangku simpanan.
Lebih yakin, Coman menyasarkan untuk kembali ke padang ketika aksi terakhir liga musim ini bertemu Stuttgart serta pertemuan final Piala Jerman menentang Eintracht Frankfurt, sebelum menyertai rakan sepasukan Les Bleus ke Russia.
Buat Perancis, pemulihan Coman memberi petanda positif buat skuad kendalian Didier Deschamps walaupun kehadirannya tidak sepenting Antoine Griezmann atau Kylian Mbappe.
Sekurang-kurangnya, Coman dapat memberi pilihan tambahan buat bekas pengurus AS Monaco, Juventus dan Olympique Marseille itu. Lebih-lebih lagi, sejak Perancis di bawah asuhannya, mereka dikenali dengan corak menyerang melalui sayap menerusi formasi 4-2-3-1 atau 4-3-3.
Coman sendiri dilihat begitu cenderung dalam proses pemulihannya untuk ke Russia. Dia memasang harapan tinggi untuk terus menyarung jersi Perancis di Piala Dunia bagi menjulang trofi buat kali kedua dalam sejarah.