Setelah empat tahun berkhidmat sebagai pemain import Kedah, Sandro da Silva berkata sudah tiba masanya Kedah bangkit daripada sekadar menduduki tempat keenam liga dan kembali berada dalam kelompok teratas Liga Super seperti tahun lalu.
Katanya, dua jaringan yang dihasilkan sewaktu Kedah menewaskan Selangor 4-0 sebelum ini meningkatkan semangatnya untuk membantu pasukan dalam misi memburu tiga mata dalam setiap perlawanan.
“Saya terima tugas sebagai penyerang utama dan akan memastikan bahagian serangan Kedah berada pada tahap yang terbaik pada perlawanan seterusnya.
“Saya mahu terus bekerja keras bersama rakan sepasukan, dua gol ketika menentang Selangor sebelum ini benar-benar membakar semangat saya untuk memburu kemenangan.
“Dengan persefahaman yang baik dalam pasukan, saya bersyukur dapat menghasilkan jaringan gol bagi membantu pasukan, namun apa yang lebih penting adalah kemenangan pasukan yang perlu diteruskan dalam setiap perlawanan untuk memburu tiga mata penuh,” katanya kepada Berita Harian.
Tambah Sandro, beliau tidak akan sekali-kali membiarkan Kedah tewas lagi selepas mencatatkan tiga kekalahan dan akan memastikan setiap perlawanan berakhir dengan kemenangan termasuklah menentang Terengganu di Kuala Terengganu, Jumaat ini.
“Kehilangan mata penting dalam beberapa perlawanan sebelum ini menyebabkan Kedah tidak berada dalam kelompok teratas liga dan kemenangan seterusnya perlu dicari untuk kembali mengukuhkan kedudukan.
“Saya sedar Terengganu memiliki pilihan pemain yang hebat, beraksi di laman sendiri akan menjadikan mereka lebih kuat dan itulah cabaran yang perlu kita hadapi nanti,” katanya.