Liga Super Malaysia Berita

4 kelab Liga Super dibenarkan daftar 12 pemain import

4 kelab Liga Super kini dibenarkan untuk mendaftar sehingga maksimum 12 pemain import mulai musim ini.
Ia menyaksikan kelab-kelab Liga Super yang bertanding dalam peringkat AFC dan AFF iaitu JDT, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur City dibenarkan mendaftar maksimum 12 pemain asing berbanding 10 sebelum ini.
Kebenaran itu diberikan oleh MFL selepas membuat pindaan terhadap Manual Liga Malaysia 2024-2025, menerusi persetujuan bersama majoriti rakan kongsi dan telah mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL.
Ia berdasarkan kepada cadangan yang dikemukakan oleh JDT mengikut Perkara 3 Manual Liga Malaysia 2024- 2025.
“Bagaimanapun, kuota tambahan ini tidak akan menjejaskan peluang pemain-pemain tempatan untuk beraksi kerana 2 pemain asing tambahan ini hanya dibenarkan beraksi dalam pertandingan Piala MFL sahaja serta pendaftaran pemain asing dalam Liga Malaysia 2024-2025 masih kekal,” kata MFL.
“Penambahan kuota ini memberi peluang kepada kelab-kelab Liga Malaysia yang layak ke pertandingan AFC Champions League Elite (ACLE), AFC Champions League 2 (ACL 2) dan AFF Club Championship 2024-2025 bersaing dalam kejohanan peringkat antarabangsa dengan lebih kompetitif.”
Ini susulan keputusan terbaharu AFC yang telah memperkenalkan peraturan pendaftaran pemain asing tanpa had dalam pertandingan.
Dengan pindaan berkenaan, komposisi pemain dalam kelab-kelab terlibat adalah seramai 34 pemain membabitkan 22 pemain tempatan dan 12 pemain import.
Namun begitu, peraturan pendaftaran pemain import bagi perlawanan di Liga Super, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup 2024-2025 masih kekal iaitu 7 (6+1).
Bagi proses naik dan turun pemain Piala MFL 2024-2025, peraturan pendaftaran 5 pemain tempatan (melebihi 23 tahun) dan maksimum tiga pemain import masih kekal.
Keputusan untuk mengekalkan kuota ini adalah bagi memastikan peluang pemain tempatan bawah 23 tahun beraksi dalam saingan Piala MFL.
Tiada perubahan bagi kelab-kelab yang tidak terlibat dalam kejohanan peringkat AFC dan AFF dan mereka hanya dibenarkan mendaftar maksima 9 pemain asing sahaja seperti peraturan sedia ada.