Piala Malaysia Berita

JDT mara ke final Piala Malaysia 3 kali berturut-turut

JDT melangkah ke final Piala Malaysia 2023 dengan bergaya apabila berpesta gol menewaskan Perak 8-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim.

Ia melengkapkan kemenangan agregat 12-2 selepas menang 4-1 pada aksi sparuh akhir pertama di Ipoh, 19 Okt lalu.

JDT mara ke final buat kali ketiga berturut-turut bermula final 2021 namun tewas mengejut kepada KL City sebelum muncul juara pada final 2022 menewaskan Selangor.

Skuad Harimau Selatan mencipta jaringan seawal minit ke-11 apabila pemain sayap muda, Arif Aiman Hanapi merembat masuk bola selepas bijak memperdaya kawalan pertahanan pelawat.

Memasuki minit ke-27, Bergson menggandakan jaringan sebelum Heberty menambah derita skuad Bos Gaurus dengan gol ketiga 4 minit kemudian.

Perak terus dihukum selepas Fernando Forestieri meledak gawang selepas menampan kemas hantaran Arif Aiman pada minit ke-52.

Bergson sekali lagi membuat kejutan apabila mudah merobek gawang pelawat pada minit ke-59 sebaik menerima hantaran lintang Juan Muniz.

Pasukan kendalian Esteban Solari terus melakukan serangan dan tidak memberikan kesempatan untuk Perak mengintai peluang sehingga terus dihukum dengan jaringan keenam Syafiq Ahmad pada minit ke-61.

Kesilapan penyerang Perak, Luka Milunovic yang menanduk bola untuk diselamatkan penjaga gol Farhan Abdul Majid dalam kotak penalti tidak berjaya apabila mudah ditampan Syafiq dan ditolak masuk ke dalam gawang pada minit ke-77.

Percubaan pertahanan Bos Gaurus, Aiman Khairul Yusni untuk mencipta jaringan pada minit ke-86 juga tidak kesampaian kerana tendangannya tersasar dari gawang tuan rumah, sebelum Heberty menjaringkan gol ke-8 JDT pada masa tambahan.

Pemain sayap Perak, Firdaus Ahmad Fuad menghadiahkan gol sagu hati buat pasukannya dan keputusan kekal 8-1 hingga tamat perlawanan.

Lawan JDT di final akan ditentukan apabila Terengganu bertemu Kuala Lumpur pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak hari ini.

Terengganu mempunyai kelebihan jaringan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada 21 Okt lalu.