Liga Super Malaysia Berita

Selepas 19 tahun, Indra Putra bakal kembali ke Perak

Indra Putra Mahayuddin dilaporkan bakal kembali bersama Perak bagi menghadapi saingan Liga Premier musim 2022, selepas 19 tahun meninggalkan The Bos Gaurus.

Ini selepas pemain veteran yang bakal mencecah usia 41 pada tahun ini telah pun menyertai latihan dikendalikan ketua jurulatih, Yusri Che Lah bersama-sama dengan Wan Zack Haikal Wan Nor.

“Saya tidak boleh katakan mereka pasti akan bersama pasukan,” CEO Perak, Muhammad Yunus Zakariah kepada Bernama.

“Buat masa ini kita kena juga lihat pelbagai aspek dan pandangan daripada jurulatih sebelum keputusan sebenar dibuat.

“Namun sesi menandatangani kontrak dilakukan secara berperingkat dan kita jangkakan ia dapat diselesaikan pada minggu ini.”

Perak dijangka mendaftarkan 27 pemain tempatan pada musim ini dan merancang untuk mendapatkan khidmat tiga tonggak import yang dijangka selesai sebelum 22 Feb ini.

Indra yang berasal dari Ipoh, Perak memulakan karier bola sepak profesional pada 2002 dan mula menempa namanya sebagai salah seorang bintang bola sepak negara apabila membantu Perak memenangi liga pada 2002 dan 2003.

Beliau kemudian membuat keputusan mengejut apabila berhijrah ke Pahang pada 2004, meraih gelaran Liga Super dan Kasut Emas dengan menjaringkan 15 gol.

Indra sekali lagi membuat kejutan apabila berhijrah ke pasukan gergasi Selangor pada 2008 namun gagal meraih sebarang kejayaan.

Selepas hanya satu musim di Selangor, beliau menerima tawaran untuk beraksi dengan Kelantan di bawah pengurusan baharu Tan Sri Annuar Musa.

Di Kelantan, Indra kembali beraksi di tahap terbaik apabila membantu The Red Warriors membawa pulang Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah.

Beliau terpalit dengan kontroversi apabila berhijrah ke T-Team pada 2011, namun kembali ke Kelantan pada 2012 dan membantu pasukannya meraih treble Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Indra berhijrah ke Felda United pada 2014, sebelum kembali ke Kelantan buat kali ketiga pada 2016.

Dua tahun kemudian, Indra menyertai Kuala Lumpur dan mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama yang menjaringkan 100 gol dalam Liga Super dan pemain pertama yang paling banyak menjaringkan dalam Liga Super.

Beliau turut membantu KL City memenangi Piala Malaysia 2021, selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.