Kuala Lumpur City FC mencipta sejarah apabila mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak 1992 selepas menewaskan Selangor FC 1-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad The City Boys mencatatkan kemenangan dengan agregat 3-0 selepas mendominasi pertembungan ‘derby’ Lembah Klang pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan keputusan 2-0, Ahad lepas.
Pemain import dari Colombia Romel Morales meledak gol tunggal perlawanan yang juga jaringannya yang ke-10 dalam kempen Piala Malaysia pada minit ke-51, selepas tidak dikawal dalam kawasan kotak penalti Selangor, dengan mudah menampan bola ke gawang menewaskan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.
📹 HIGHLIGHTS: @KLCityFootball 1-0 @SelangorFC
Jaringan ke-10 Romel Morales dalam kempen TM Piala Malaysia memastikan kemenangan KL City FC malam ini dan 3-0 secara agregat.#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/KxglFdRF4H
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 18, 2021
Menanti KL City FC di separuh akhir adalah Melaka United FC yang mengesahkan kemaraan dengan keputusan agregat 3-1 mengatasi Sabah FC selepas melakar kemenangan 2-1 pada aksi di Stadium Hang Jebat.
Pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan turut mencatat sejarah tersendiri apabila kejayaan itu menyaksikan skuad Sang Kancil buat kali pertama sejak 1983.
Skuad tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi rembatan jarak jauh penyerang import dari Brazil Adriano Narcizo, namun terpaksa menunggu hingga separuh masa kedua untuk selesa mendahului 2-0 hasil jaringan bintang pasukan Sony Norde pada minit ke-78.
Sabah FC kendalian Datuk Ong Kim Swee mendapat gol sagu hati pada masa kecederaan babak kedua perlawanan menerusi sepakan penalti disempurnakan kapten pasukan Riso Mitrevski selepas Che Rashid Che Halim menjatuhkan Jenius Karib dalam kawasan berbahaya.
Pencapaian terbaik pasukan Melaka United FC dalam kempen Piala Malaysia adalah mara ke suku akhir pada 2017 dan 2019.
📹 HIGHLIGHTS: @MelakaUnitedFC 2-1 @SabahFCOfficial
Melaka United menang 3-1 secara agregat untuk mara ke peringkat seterusnya. Adriano dan Sony Norde menjaringkan gol tuan rumah manakala gol Sabah adalah menerusi sepakan penalti Risto Mitrevski. #TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/xdcx0dDa9V
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 18, 2021
Sementara itu, jaringan pada minit ke-40 bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi membawa skuad Harimau Selatan ke aksi separuh akhir dengan keputusan agregat 1-0 menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu membolehkan JDT meneruskan misi mempertahankan mahkota kejuaraan dimenangi pada edisi 2019 sekali gus menambah koleksi kejuaraan musim ini selepas turut memenangi Piala Sumbangsih dan mengungguli saingan Liga Super.
Di separuh akhir, JDT akan membuat perhitungan menentang finalis edisi 2018 Terengganu FC (TFC) yang merakam kemenangan 4-2 ke atas naib juara Liga Premier 2021 Sarawak United sekali gus mara dengan keputusan agregat 6-3.
📹 HIGHLIGHTS: @OfficialJohor 1-0 @kda_fc
Arif Aiman meledak gol tunggal perlawanan untuk melayakkan JDT ke separuh akhir TM Piala Malaysia.#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/hsqGmTPIin
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 18, 2021
Pada aksi di Stadium UiTM, Shah Alam itu, TFC cemerlang mendahului 3-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Jordan Mintah seawal minit kedua diikuti Muhammad Faisal Abdul Halim (minit ke-12) dan Muhammad Faiz Mohd Nasir sebelum kedua-dua pasukan berehat.
Bersambung babak kedua, Mintah mencetak gol peribadi keduanya malam ini pada minit ke-64, namun hasrat TFC meraih kemenangan bersih tidak kesampaian apabila Sarawak United berjaya meledak dua gol masing-masing menerusi Sandro da Silva pada minit ke-70 dan Uche Agba pada minit ke-89.
Aksi separuh akhir pertama dan kedua masing-masing berlangsung pada 22 dan 26 Nov.
KL City FC terlebih dahulu akan melayani kunjungan Melaka United FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sementara JDT bertandang ke Terengganu berdepan cabaran TFC untuk aksi pertama.
📹 HIGHLIGHTS: @sufc_rasmi 2-4 @FCTerengganu
Terengganu FC sah ke separuh akhir 6-3 secara agregat hasil jaringan Jordan Mintah (2), Faisal Halim dan Faiz Nasir, manakala Sandro dan Uche Agba membalas untuk tuan rumah.#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/2bfLfEvhvI
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 18, 2021