Liga Super Malaysia Berita

JDT layak ACL2022, naib juara Liga Super dan juara Piala Malaysia layak Piala AFC 2022

Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan mengumumkan bahawa juara Liga Super bagi musim 2021 secara automatik bakal memperolehi tiket ke pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada tahun 2022.

Ini selepas JDT disahkan sebagai juara Liga Super musim 2021 apabila menewaskan Pahang 3-0 semalam.

Jelas Ghani, dua slot automatik untuk beraksi di Piala AFC bagi musim 2022 pula akan diberikan kepada juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super.

Ini bermakna, Liga Malaysia masih kekal memperolehi slot 1+2 daripada AFC di mana satu kuota bagi ACL dan dua pasukan bertanding untuk Piala AFC pada musim hadapan.

“Liga Malaysia masih mendapat slot 1+2 (ACL dan Piala AFC) daripada AFC,” kata Ghani dalam kenyataan.

“Ini jelas merupakan satu perkara positif kepada liga tempatan kita untuk beraksi dalam pertandingan yang cukup kompetitif melibatkan pasukan-pasukan dari Asia dan Asia Tenggara.

“Seperti biasa, juara Liga Super akan mendapat slot ke ACL dan amalan sebelum ini menyaksikan juara Piala FA dan naib juara Liga Super memperolehi slot ke Piala AFC secara automatik.

“Bagaimanapun disebabkan pandemik COVID-19 telah banyak merencatkan perancangan MFL di mana tahun ini merupakan tahun kedua penganjuran Piala FA terpaksa dibatalkan, MFL telah memutuskan bahawa juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2021 akan mendapat slot ke Piala AFC bagi musim 2022.”

Ghani juga mengesahkan bahawa slot Piala AFC hanya menjadi milik pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super jika pemenang Piala Malaysia merupakan juara atau naib juara Liga Super 2021.

“Jika pemenang Piala Malaysia adalah pasukan yang telah menjuarai Liga Super atau pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Super, maka baki satu slot Piala AFC itu akan menjadi milik pasukan yang berada di tempat ketiga Liga Super 2021.”

Dua tiket ke Piala AFC 2022 masih terbuka untuk direbut oleh pasukan lain di mana Kedah memperolehi slot automatik ke kejohanan itu tahun ini atas kapasiti sebagai naib juara Liga Super 2020.

Manakala satu baki slot Piala AFC 2021 diberikan kepada Terengganu yang menduduki tempat ketiga Liga Super 2020 selepas kejohanan Piala Malaysia terpaksa dibatalkan ekoran keputusan kerajaan ketika itu tidak membenarkan Piala Malaysia berlangsung sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).