Presiden baharu Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, meletakkan harapan agar penyokong dapat kembali hadir ke stadium apabila merancang untuk mengemukakan permohonan dalam masa terdekat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berpendapat, penyokong yang telah lengkap vaksin dua dos wajar diberikan kelonggaran untuk memasuki stadium dengan kuota kemasukan mengikut kapasiti stadium bagi peringkat awal.
“Memang kelihatan bahawa liga luar seperti EPL (Liga Perdana Inggeris ), stadium sudah penuh dengan penonton. Saya dalam hal ini telah bersedia untuk mengemukakan surat permohonan agar dibenarkan penyokong dapat kembali ke stadium.
“Kelonggaran ini melibatkan individu di mana yang mereka sudah lengkap dua dos dan mereka perlu membuktikan melalui sijil vaksinasi di aplikasi MySejahtera semasa di pintu pagar stadium bersama tiket.
“MFL tidak minta banyak iaitu sekurang-kurangnya mengekalkan peratus yang sama masuk ke dalam stadium seperti mana sebelum ini atau mungkin ditingkatkan lagi agar dapat memeriahkan perlawanan serta melegakan penyokong-penyokong di Liga Malaysia.
“Insya-Allah kita harap MKN dapat mempertimbangkan dengan sewajarnya dengan apa yang kita mohonkan ini, ” katanya dalam sidang media pertama selaku Presiden MFL secara atas talian hari ini.
Pada awal musim, penyokong dibenarkan hadir ke stadium berdasarkan SOP tertentu dengan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hanya 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang dibenarkan, manakala untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP), 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang dibenarkan.
Namun, sebaik Liga Malaysia kembali bersambung pada 24 Julai apabila arahan Fasa1 Perintah Kawalan Pergerakan Menyeluruh bermula pada 1 Jun lalu, penonton tidak dibenarkan hadir ke stadium.
Dalam pada itu, Ghani mengharapkan tiada lagi kes positif melibatkan pemain-pemain selepas Kedah dan Kuching City FC kerana buat masa ini SOP pergerakan serta perjalanan Liga Malaysia dikawal sepenuhnya oleh MKN.
Walaupun begitu, MFL menerusi Kementerian Belia dan Sukan telah memohon kepada MKN agar hanya pemain yang disahkan positif sahaja dikuarantin seperti amalan yang dibuat oleh liga-liga luar negara.
“Harap tiada lagi kes positif dalam kalangan pemain kerana apabila terjadi, maka MFL terpaksa menangguhkan perlawanan sehingga 14 hari serta terpaksa beri tujuh hari tambahan untuk pasukan berlatih, jadi sudah 21 hari. Kedah terpaksa menunda lima perlawanan sementara Kuching sebanyak tujuh perlawanan.
“Jika berlaku lagi, maka sukar untuk MFL dan kami telah beri amaran keras agar semua pasukan menjaga SOP pemain serta perlu bertanggungjawab.
“MFL telah menghantar surat untuk memohon agar yang positif sahaja dikuarantin tetapi atas dasar indeks kes yang tinggi pada masa sekarang, permohonan itu telah ditolak.
“Bagaimanapun, MFL akan mohon lagi sebab majoriti pasukan telah divaksin dan kelonggaran ini dapat diberikan bila sudah ada dua dos vaksin, maka saya harap MKN dapat peritmbangkan.
Mengenai pelantikan selaku Presiden MFL, mantan Ketua Pegawai Eksekutif MFL itu mengakui beliau sememangnya mahu memacu MFL ke tahap lebih tinggi tetapi bukan sesuatu yang mudah terutama dalam situasi penuh mencabar ekoran kesan pandemik COVID-19.
“Dalam keadaan pandemik, saya harus memastikan Liga Malaysia dapat dijalankan sebaik mungkin berikutan pelbagai SOP yang terpaksa diharungi seperti dikeluarkan MKN dan KKM.
“Apa yang penting, saya mengharapkan musim ini kita dapat habiskan Liga Malaysia, Challenge Cup dan Piala Malaysia selain musim depan Piala FA dapat dimainkan semula.
“Selaku presiden, saya bertanggungjawab untuk tentukan tentang sumber kewangan iaitu penajaan di peringkat MFL, Insya-Allah saya akan berusaha seperti presiden-presiden sebelum ini agar penajaan dapat diteruskan bagi musim 2022 nanti.”