Liga Super Malaysia Berita

FAM tangguh program naturalisasi, tapi tiada halangan untuk pasukan Liga Malaysia naturalisasikan pemain

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin membuat keputusan untuk menangguhkan sementara projek naturalisasi pemain baharu bagi pasukan kebangsaan.

Ini selepas Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula, dan Liridon Krasniqi mewakili negara ketika ini.

Beliau berkata, FAM hanya akan meneliti keperluan menyerapkan pemain asing dalam skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Justeru, katanya, skuad Harimau Malaya akan kekal menggunakan khidmat pemain naturalisasi sedia ada untuk pusingan ketiga kempen kelayakan Piala Asia 2023 bermula Februari tahun depan.

“Projek naturalisasi ditangguh sehingga keputusan dibuat selepas mendapat laporan Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Naturalisasi, pengurusan pasukan kebangsaan dan Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee,” katanya kepada Bernama.

“Namun, bagi pasukan Liga Malaysia tiada halangan menaturalisasikan pemain yang mencukupi syarat.

“Penggunaan pemain berdarah campuran akan dibuat mengikut keperluan kerana bukan mudah untuk mendapatkan pemain heritage ini, tak ramai yang boleh beraksi dengan baik.”

Pada masa sama, Hamidin berkata jika ada keperluan untuk menaturalisasikan pemain baharu, ia hanya akan dibuat bagi kempen saingan seterusnya iaitu bagi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Dalam pada itu, Hamidin berkata FAM akan kekal mengendalikan pengurusan skuad Harimau Malaya, meskipun pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan hasrat untuk mengendalikan pasukan negara.

“Saya dah berjumpa dengan Tunku selepas pulang dari UAE. Dalam pertemuan tersebut, kita sudah capai kata sepakat bahawa pasukan kebangsaan terus kekal di bawah FAM.

“Saya memahami perkara ini timbul mungkin kerana kekalahan kepada UAE dan Vietnam.

“Tunku sebagai mantan presiden FAM, telah menyatakan beberapa perkara pada mesyuarat itu seperti pemilihan pemain, yang kita akan tambah baik pada panggilan seterusnya.”

Hamidin turut menjelaskan bahawa FAM terpaksa melupakan aksi persahabatan bagi skuad Harimau Malaya bagi jendela perlawanan FIFA bagi tempoh 30 Ogos hingga 7 Sept ini, berikutan kekangan berkaitan peraturan kuarantin 14 hari.

Beliau berkata FIFA hanya memberikan 9 hari untuk mengadakan perlawanan antarabangsa bagi setiap jendela pada akhir Ogos, Oktober dan November, namun pihaknya sukar mengadakan perlawanan jika tidak mendapat kelonggaran kuarantin.

“Jika kita pergi ke sana pun kena kuarantin, kalau menjemput pasukan lain pun mereka kena menjalani kuarantin di sini.

“Jadi kita dah miss window (terlepas jendela perlawanan) Ogos ini. Ada banyak pasukan seperti Palestin, Taiwan, Jordan dan Oman yang bersedia tapi isunya perjalanan.”