Liga Super Malaysia Berita

JDT pertahankan prestasi Safawi Rasid

Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards tampil menyangkal dakwaan bekas pemain antarabangsa, Datuk Jamal Nasir dan pemerhati bola sepak, Zakaria Rahim bahawa JDT perlu bertanggungjawab atas aksi hambar Safawi Rasid ketika ini.

Beliau sebaliknya berkata, Safawi telah menunjukkan kemajuan yang baik susulan kecederaan yang dialami sebelum meninggalkan kelab untuk tugas antarabangsa.

“Untuk rekod, Safawi mengalami kecederaan pada 13 Mac dan hanya kembali ke kesebelasan utama pada 16 April tetapi masih dalam proses pemulihan hingga ke tahap sepenuhnya.

“Secara keseluruhan, Safawi telah menjaringkan dua gol, melakukan lima permulaan, tiga kali beraksi dari bangku simpanan dan bermain 364 minit sebelum ‘international break’.

“Untuk mengatakan bahawa intensiti latihan sepenuhnya merupakan tanggungjawab kelab adalah tidak tepat kerana kem latihan yang panjang oleh pasukan kebangsaan di mana pemain berada di sana dari 16 Mei – 16 Jun.”

Alistair juga memaklumkan, perjalanan pemulihan dan kembali ke intensiti tinggi Safawi masih lagi berjalan sebelum ‘international break’.

“Safawi hanya kembali ke JDT seminggu sebelum Liga Juara-Juara AFC, terbang terus ke Thailand dari Emiriah Arab Bersatu.

“Kelab ini akan membimbing Safawi kembali pulih sepenuhnya, sedia untuk bola sepak intensiti tinggi dan membina semula tahap keyakinan beliau dalam beberapa minggu akan datang.”