Guilherme De Paula enggan memberikan sebarang alasan, sebaliknya mengakui bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi hambar semasa menentang UAE.
Pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu berkata beliau sedar harapan tinggi peminat bola sepak tanah air yang mahu melihat kehadiran pemain naturalisasi memberikan impak positif kepada prestasi pasukan.
De Paula yang dihujani kritikan termasuk desakan agar beliau diketepikan pada pertembungan dengan Vietnam Jumaat ini, bagaimanapun tetap komited untuk membantu skuad kebangsaan.
“Saya bangga menyarung jersi Malaysia,” katanya kepada Bernama.
“Saya sayangkan negara ini dan rakyatnya, namun harapan mereka sangat tinggi.
“Sesetengah daripada mereka berhak mengkritik saya, manakala yang lain pula tidak. Saya tetap bersemangat tinggi dan tidak memikirkan apa yang telah berlalu.
“Saya tidak tahu apa yang mereka mahu lihat, pasukan ada statistik saya, mereka tahu prestasi saya dalam perlawanan.
“Mereka boleh mengkritik saya sepanjang tahun kalau mereka mahu, saya tidak ada masalah.
“Saya tahu kemampuan saya dan apa yang boleh saya berikan di atas padang.”
De Paula secara rasmi menjadi pemain naturalisasi ketiga negara pada Mac lepas, menyusuli Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi yang turut disenaraikan dalam skuad semasa Cheng Hoe.
Malaysia akan meneruskan baki perlawanan pusingan kedua menentang Vietnam di Al Maktoum Stadium, Dubai sebelum menamatkan kempen mereka dalam Kumpulan G bertemu Thailand pada 15 Jun, juga di stadium sama.
Skuad kebangsaan tidak mempunyai pilihan selain menang ke atas Vietnam dan Thailand untuk muncul sebagai antara dua pasukan terbaik peringkat kumpulan, bagi mencerahkan peluang layak secara automatik ke final Piala Asia 2023.
“Kami tahu apa yang perlu kami lakukan,” kata De Paula.
“Perlawanan ini amat penting bagi kami. Vietnam merupakan pasukan yang bagus dan mereka bermain dengan baik dalam perlawanan terdahulu.
“Namun kami sangat yakin dapat menjalankan tanggungjawab kami untuk menggembirakan peminat.”
De Paula berkata pasukan kebangsaan yang merupakan gabungan pemain muda dan berpengalaman, sentiasa bekerja keras semasa sesi latihan bagi membaiki kelemahan.
“Mereka perlu menaruh kepercayaan kepada kami, tiada antara kami yang datang ke sini untuk bercuti.”
Selepas enam perlawanan, Vietnam mendahului kumpulan dengan 14 mata, diikuti UAE (12 mata), Thailand (9 mata) dan Malaysia, juga dengan sembilan mata, sementara Indonesia di tempat terakhir dengan hanya satu mata.
Berdasarkan rekod sebelum ini, skuad kebangsaan hanya mencatatkan satu keputusan seri dan kalah tiga perlawanan dalam empat pertemuan terakhir menentang Vietnam, dengan Malaysia tewas 0-1 pada aksi pusingan pertama kempen itu di Hanoi pada Oktober 2019.