Malaysian Football League (MFL) telah membuat keputusan untuk menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia bagi musim 2021 daripada tarikh asal 26 Feb kepada 5 Mac 2021.
CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata keputusan itu dicapai selepas berbincang dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga 4 Feb.
“MFL selepas Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL termasuk mengambil kira pandangan daripada setiap wakil pasukan telah mencapai kata sepakat untuk meminda tarikh sepak mula Liga Malaysia pada 5 Mac 2021 ini,” katanya dalam kenyataan.
“Umum mengetahui bahawa status pandemik COVID-19 berada di paras yang cukup membimbangkan selain kebergantungan status PKP memainkan faktor tetapi MFL mahu bersedia dengan lebih awal.”
Malah, kata Ghani, rakan kongsi liga mahukan tempoh persiapan sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum sepak mula Liga Malaysia 2021.
“MFL juga mengambil faktor pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) melibatkan JDT serta pertandingan Piala AFC yang menyaksikan dua wakil negara, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC dalam kejohanan ini menyebabkan keputusan pindaan tarikh Liga Malaysia 2021 itu dicapai secara bersama.”
Beliau juga berkata, MFL telah menyediakan beberapa mekanisme seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan yang lebih ketat dan SOP latihan kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan lebih efektif, selamat dan menghindari segala prospek pandemik COVID-19.
Katanya lagi, MFL turut memiliki beberapa lagi mekanisme untuk memulakan kempen Liga Malaysia musim 2021 jika PKP masih bersambung selepas 4 Februari depan.
“Apa yang pasti, MFL telah bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan penyediaan SOP latihan dan MFL akan sekali lagi membentangkan cadangan-cadangan ini kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan bebas daripada sebarang gelaja COVID-19.”
Tiada Piala FA 2021
Ghani juga mendedahkan Piala FA tiada dalam perancangan kalendar Liga Malaysia musim 2021.
Beliau berkata, ia satu keputusan yang berat untuk dicapai tetapi harus dilaksanakan bagi memastikan pasukan tidak dibebani dengan jadual padat sekali gus memberikan impak kepada kualiti Liga Malaysia.
“MFL juga telah membuat keputusan bahawa kalendar Liga Malaysia musim 2021 menyaksikan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup diteruskan.
“Tiada kejohanan Piala FA seperti tahun lalu di mana keputusan berat ini terpaksa dibuat demi memastikan keseimbangan jadual dan pasukan tidak dibebani jadual padat.”