Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Harry Edge dan Marcel Kalonda bagi membuktkan mereka benar-benar ada pertalian darah dengan rakyat Malaysia dan layak mewakili negara.
Katanya, kedua-dua pemain itu diberikan tempoh dua minggu sahaja sebelum FAM menguji tahap keupayaan mereka.
“Kita tidak mahu peminat menunggu-nunggu atau tertanya-tanya tentang kesahihan, sebab itu kita letakkan tempoh waktu supaya status mereka dapat disahkan,” katanya kepada Arena Metro.
“Tapi hingga sekarang kita masih menunggu respon kedua-dua pemain pertahanan itu.
“Jika benar mereka ada darah warisan dengan negara kita, maka mudah untuk kita buat langkah seterusnya seperti menguji kebolehan dan permainan mereka.
“Tapi kalau proses pertama pun tidak lepas, bermakna kita boleh lupakan khidmat mereka untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.”
Yusoff turut menegaskan, Edge dan Kalonda perlu menjalani proses pemilihan yang ketat meskipun berjaya membuktikan mereka sebagai pemain warisan negara.