Liga Super Malaysia Berita

MFL: Ikut jejak langkah JDT

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berharap pasukan tempatan dapat mengikut jejak langkah JDT dalam semua aspek khususnya pengurusan kewangan dalam mengharungi detik sukar akibat penularan wabak COVID-19.

Ini terutamanya selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) menyalurkan sumbangan kepada Tabung Bencana Negeri Johor menerusi derma sebahagian daripada gaji para pemain, jurulatih dan kakitangan mereka.

“Ketika dunia berdepan pandemik COVID-19 di mana hampir semua kelab bola sepak di dunia sedang diuji dengan masalah kewangan, seluruh warga JDT pula menunjukkan sikap keprihatinan cukup tinggi apabila melaksanakan pemotongan gaji 33 peratus bagi meringankan beban masyarakat kesan daripada penularan wabak yang semakin serius di negara ini.

“Inilah semangat ‘Fair Play’ yang tersemai di mana tindakan pemotongan gaji itu juga dilihat sebagai langkah penjimatan untuk seluruh warga JDT membantu kewangan kelab yang pastinya turut menerima tempias akibat wabak COVID-19 apabila saingan Liga Malaysia musim 2019 terpaksa ditangguhkan sejak 16 Mac lalu.

“Jelas pendekatan pihak pengurusan JDT yang mengadakan perbincangan bersama pemain, jurulatih dan kakitangan mereka membuahkan kata sepakat untuk mengharungi detik sukar bersama.

“MFL berharap supaya semangat ini akan dapat diterjemahkan juga oleh pasukan-pasukan dan pemain-pemain lain dalam Liga Malaysia demi untuk kebaikan semua.

“Ia juga selari dengan seruan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mahu pemegang taruh bola sepak Malaysia agar mencari jalan menangani masalah kewangan kelab disebabkan wabak COVID-19.”