Liga Super Malaysia Berita

Melaka United tidak jadi bawa masuk Amido Balde

Penolong pengurus Melaka United, Syahrul Nizam Shamsuddin bahawa pihaknya membuat keputusan untuk tidak menandatangani kontrak bersama bekas pemain Celtic, Amido Balde.

Katanya, walaupun menjaringkan dua gol dalam perlawanan persahabatan, ia tidak cukup untuk meyakinkan barisan kejurulatihan bagi menggandingkan Balde dengan Uche Agba di bahagian serangan.

“Sehubungan itu, kami masih menanti kehadiran import baharu yang bakal tiba dalam tempoh terdekat,” katanya kepada BH Sukan.

“Kami yakin pemain ini akan bersama pasukan sebelum berlepas ke Bandung bagi aksi pra-musim 28 Januari ini.”

Melaka masih mencari penyerang baharu selepas Patrick Reichelt dan Davy Angan meninggalkan pasukan hujung musim lepas.

Mereka dilihat bercita-cita tinggi untuk mendapatkan Victor Anichebe, namun bekas pemain Everton itu menafikan dakwaan bahawa beliau pernah berunding dengan Melaka.

Malah, Melaka mula menghadapi masalah mencari penyerang import baharu selepas Deshorn Brown yang sepatutnya menyertai mereka, membuat keputusan untuk beraksi bersama kelab Liga India, Bengaluru FC.