Sudah 2018 dan masih ada masalah pembayaran gaji.
Presiden Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub hari ini mengumumkan bahawa Jawatankuasa Status FAM telah mengarahkan Terengganu City FC dan Persatuan Bolasepak Perlis untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji kepada pemain-pemain mereka.
Enam pemain Terengganu City telah membuat tuntutan tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak berjumlah RM 283,000 kepada kelab yang layak ke Liga Premier musim depan. Kelab Bolasepak Terengganu City telah diarahkan menyelesaikan kesemua tuntutan berkenaan dalam tempoh 30 hari.
Persatuan Bolasepak Perlis pula berdepan tuntutan bayaran tunggakan gaji daripada 29 pemain mereka sebanyak RM 461,500. Persatuan Bolasepak Perlis juga diarahkan menyelesaikan tuntutan berkenaan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penerimaan keputusan.
Jika kedua-dua pasukan gagal membayar jumlah yang dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.