Malam ini Kuala Lumpur mempunyai misi balas dendam terhadap Melaka United. Rekod cemerlang mereka di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras tercalar sekali lagi musim ini apabila tewas kepada Melaka United. Dalam perlawanan tersebut mereka tewas 3-4 dengan tiga daripada empat gol Melaka United hadir di separuh masa pertama. Apa agaknya yang perlu dilakukan oleh City Boys untuk meraih tiga mata pertama di tempat lawan?
Satu perkara yang sangat ketara dalam perlawanan menentang Melaka United di Cheras adalah kegagalan barisan pertahanan Kuala Lumpur. Kuala Lumpur musim ini merupakan pasukan yang mempunyai rekod bolos paling banyak. Dalam perlawanan tersebut, agak ketara mereka longgar di sebelah kiri pertahanan mereka. Kesemua gol Melaka United berpunca dari sebelah kiri Kuala Lumpur. Gandingan Faris Shah dan Syahrul Azwari telah merobek sebelah kiri pertahanan Kuala Lumpur, tempat di mana Syahrul Azwari dan Achmad Jufriyanto bermain.
Syazwan Andik dalam perlawanan tersebut dilihat terlalu menyerang sehingga terlupa bertahan. Beberapa kali Achmad Jufriyanto berdepan situasi dua lawan satu di mana Syahrul Azwari dan pemain import baru Melaka United, Ifedayo Olusugun mensasarkan Jufriyanto. Tanpa bantuan bek kiri dan pemain midfield, Jufriyanto menjadi sasaran mudah. Apa yang perlu dilakukan? Sama ada Syazwan perlu meningkatkan keupayaan bertahan, atau mainkan Azmeer Yusof yang lebih berpengalaman.
Melaka United dilihat banyak menyerang di bahagian sayap dengan Syahrul Azwari di sebelah kiri dan R. Gopinathan di sebelah kanan. Mereka juga mempunyai pemain yang cukup pantas dan kuat fizikalnya iaitu Ifedayo. Dua pemain tengah bertahan akan menyerap asakan dan terus melancarkan serangan balas menerusi pemain-pemain ini. Mereka boleh menggunakan kepantasan untuk menewaskan pertahanan atau membuat hantaran kepada Yahor Zubovich yang mempunyai kekuatan fizikal dan mampu menanduk bola.
Selain itu, apa yang menarik untuk dilihat dalam dua perlawanan, menentang Terengganu dan Melaka United, Kuala Lumpur lambat panas. Mereka bagaikan dua pasukan berbeza dalam dua separuh masa. Separuh masa pertama mereka caca marba, tetapi di separuh masa kedua mereka begitu hebat sekali. Jika mereka mahu terus berada di Liga Super, mereka perlu konsisten dalam persembahan mereka. Bak kata Irfan Zakaria sendiri, Kuala Lumpur tidur di separuh masa pertama. Mereka kini perlu bangkit dari awal permainan.
Kuala Lumpur mempunyai barisan tengah dan serangan yang sebenarnya agak kuat di Liga Super. Paulo Josue, Indra Putra, Zhafri Yahya, Irfan Zakaria, Ashri Chuchu dan Zaquan Adha merupakan pemain bertaraf Liga Super. Namun, setakat ini Indra nampaknya masih belum benar-benar memberikan impak yang kuat kepada Kuala Lumpur.
Pada separuh masa kedua menentang Melaka United dan Terengganu, boleh dilihat betapa kuatnya barisan serangan Kuala Lumpur. Jika mereka mahu menang di Melaka, mereka perlu menyerang dari awal. Kekuatan De Paula, kreativiti Paulo Josue dan kegigihan Zaquan Adha perlu ditagih seawal permainan. Irfan dan Zhafri pula perlu lebih disiplin dan memberikan bantuan kepada pertahanan dan serangan ketika diperlukan, tidak boleh kurang di salah satu.
Pastinya ramai penyokong Kuala Lumpur sangat mahu menyaksikan City Boys meraih tiga mata pertama di tempat lawan. Dengan saingan Liga Super kini semakin sengit, Kuala Lumpur tidak lagi boleh mengharapkan mata di tempat sendiri jika mahu kekal di Liga Super. Jika tidak, mereka akan berdepan musim yang sukar sehingga hari terakhir Liga Super Malaysia dan berdepan risiko tersingkir ke Liga Premier selepas hanya semusim di Liga Super.