Berita Malaysia

Bojan Hodak mahu pemain membiasakan diri di peringkat antarabangsa

Jurulatih pasukan Bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak mahu pemain-pemainnya membiasakan diri apabila berhadapan dengan mana-mana pihak lawan yang lebih berkualiti khususnya di peringkat antarabangsa.

Sebab itu katanya, perlawanan persahabatan menentang skuad B-19 Thailand, Assumption United dan Chonburi FC nanti sangat penting dalam memastikan pasukannya berada pada tahap terbaik.

Malah, prestasi pemain akan diambil kira dalam tiga perlawanan tersebut bagi mengkaji dan memperbaiki segala kelemahan sebelum menghadapi Kejohanan B-19 AFF 2018, Julai ini.

“Kita akan cuba memberikan pendedahan paling terbaik buat semua pemain terutamanya yang baru dipanggil menyertai pasukan ini.

“Mereka perlu biasakan diri dengan perlawanan antarabangsa yang mencabar. Saya juga akan beri peluang bermain kepada pemain yang kurang beraksi.

“Tiga perlawanan ini penting dan semua pemain perlu pamerkan persembahan terbaik. Mereka perlu tunjukkan kemampuan sebenar untuk saya membuat penilaian,” katanya kepada Berita Harian.

Pasukan B-19 negara berlepas ke Bangkok, Thailand semalam bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa bermula dengan aksi berdepan skuad B-19 Thailand, hari ini sebelum menentang Assumption United pada Sabtu ini dan Chonburi FC, Isnin depan.

Tiga perlawanan tersebut adalah sebagai persiapan awal pasukan B-19 menjelang Kejohanan B-19 AFF 2018 yang akan berlangsung di Bogor dan Surabaya, Indonesia dari 1 hingga 14 Julai.

Malaysia berada dalam kumpulan B, berhadapan dengan pasukan Myanmar, Timor Leste, Kemboja dan Brunei.