Bek atau pertahanan adalah satu posisi yang menggambarkan seorang pemain yang sangat keras, mempertaruhkan fizikal, tidak gentar untuk menjatuhkan pihak lawan dan sering menerima kad merah. Bagaimanapun, prinsip itu dipadamkan oleh Alessandro Nesta.
Dibesarkan dalam era catenaccio dan berkelana bersama dua kelab besar Itali, Nesta muncul sebagai pemain pertahanan yang dikenali di bawah kendalian Sven-Goran Eriksson, Zdenek Zeman dan Carlo Ancelotti. Walaupun memulakan karier sebagai seorang penyerang, Nesta muncul sebagai salah seorang bek yang disegani di dunia.
Bersama Lazio dan AC Milan, dia meraih kejuaraan-kejuaraan besar di peringkat kelab dan antarabangsa. Bermula dengan Serie A, dituruti oleh Piala Itali, Piala Super Eropah, segalanya diraih ketika bersama Biancocelesti dan Rossoneri. Bersama skuad kebangsaan Itali, Nest menjulang Piala Eropah B-21, Liga Primavera dan tentunya kejayaan paling besar adalah Piala Dunia 2006.
Karier Nesta sememangnya luar biasa. Dia meraih penghargaan individu apabila menerima anugerah Pemain Muda Terbaik Serie A, dinamakan 100 pemain terbaik FIFA, dipilih ke pasukan tahunan Liga Juara-Juara Eropah, FIFPro serta UEFA. Kemuncaknya, dia dipilih sebgai bek terbaik Serie A selama empat musim berturut-turut bermula tahun 2000.
Sebagai pertahanan, pencapaian itu amat luar biasa. Ia bukti mudah bahawa dia bukan seorang bek yang biasa.
Seperti yang disebutkan pada awal artikel, Nesta mempunyai perwatakan yang berbeza dengan pertahanan yang biasanya wujud di dunia. Setiap halangan dan terjahannya sangat halus dan hampir tepat ke sasaran tanpa memerlukan pengadil untuk meniupkan wisel, bahkan berbekalkan tubuh yang kecil, dia sentiasa berupaya untuk merampas bola dari lawan.
Jika pemain-pemain seperti Diego Maradona, Juan Roman Riquelme, Lionel Messi dan Andrea Pirlo dikenali kerana kemahiran mengawal bola, Nesta adalah legenda pertahanan yang beraksi dengan penuh seni. Setiap terjahannya diwarnai dengan halangan yang tepat serta dilengkapkan dengan posisi yang tidak salah.
Usia yang semakin meningkat juga tidak membuatkan sentuhannya itu luntur. Pernah satu ketika, sewaktu dia berusia 36 tahun dan berhadapan Messi yang 12 tahun lebih muda daripadanya. Dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2011/12 itu, Nesta mendapatkan bola dari kaki bintang Argentina itu dengan cara menghulurkan kaki dalam keadaan sangat halus sehingga membuatkan bintang Barcelona itu tidak menyedari bola dicuri daripadanya.
Messi terjatuh ketika itu tetapi tidak menunjukkan sebarang bantahan kepada pengadil. Bahkan, dia terdiam, seakan tidak percaya dengan apa yang dilakukan oleh Nesta. Ketika itu, satu insiden bahawa seorang pertahanan berusia 36 tahun telah merampas bola dengan mudah daripada seorang “tuhan” bola sepak dengan mudah telah disaksikan.
Gandingan terbaik
Walaupun Nesta dikenali dengan kebolehan individu, sudah pasti dia juga mengharapkan bantuan daripada rakan gandingannya. Nama-nama seperti Paolo Negro, Paolo Maldini, Thiago Silva, Kakha Kaladze, Alessandro Costacurta, Sinisa Mihajlovic serta Jaap Stam, semuanya pernah beraksi bersama Nesta.
Daripada banyak nama itu, tiga nama yang terawal wajar disebutkan sebagai gandingan terbaik buat Nesta.
Paolo Maldini muncul sebagai pemain yang paling kerap berpasangan dengan Nesta di barisan bawah. Mereka beraksi bersama hampir 194 perlawanan dan meraih mata sehingga 202. Kedua-duanya adalah benteng emas AC Milan ketika awal tahun 2000, sebelum lahirnya Leonardo Bonucci dan Alessio Romagnoli.
Paolo Negro muncul sebagai gandingan Nesta di Lazio. Hampir 15,000 minit telah diluangkan bersama daripada kedua-dua pemain ini di atas padang. Keruntuhan gandingan ini berlaku selepas Lazio dilanda masalah kewangan pada tahun 2002, membuatkan Nesta terpaksa berhijrah ke AC Milan.
Thiago Silva adalah gandingan hebat terakhir dimiliki Nesta. Kombinasi pemain muda dan tua di benteng tengah Milan pada musim 2010/11 telah menjadi teras utama sehingga mereka meraih kejuaraan Serie A pada musim tersebut.
21 tahun karier yang dilalui Nesta dipenuhi dengan saat pahit dan manis. Walaupun beberapa kali ditimpa kecederaan serius termasuk terpaksa berehat selama lapan bulan akibat kecederaan pinggul, pemain kelahiran Roma ini sentiasa mencapai tahap terbaiknya. Ketika bersama Montreal Impact, dia masih sempat menjarai Piala Kanada bagi musim 2012/13.