Luar Negara

“Doktor gigi?” – 5 perkara yang perlu anda tahu tentang bintang baru Kelantan

Kelantan dijangka akan mengumumkan perpindahan Misagh Bahadoran dari Global FC dalam beberapa hari akan datang, selepas presiden KAFA, Bibi Ramjani mengesahkan bahawa dia menjadi calon utama untuk mengisi slot import ASEAN.

Penyerang yang berusia 30 tahun itu antara nama yang paling terkenal dalam dunia bolasepak Filipina dan berjaya membantu Global FC mara ke final Philippines Football League beberapa minggu lepas. Sekarang, Misagh bakal bermain di luar Filipina buat kali pertama dalam kariernya.

Berikut adalah lima perkara yang perlu anda tahu tentang bintang baru TRW ini!

MEMBESAR DI TEHRAN

Misagh Bahadoran ada pemain kacukan Iran-Filipina dan membesar di Tehran sebelum berpindah ke Filipina pada tahun 2004 untuk menghabiskan sekolah menengah. Dia merupakan anak ketiga daripada lapan adik-beradik.

MEMPUNYAI IJAZAH 'DENTISTRY'

Walaupun dia mula bermain bolasepak di Filipina sekitar tahun 2008/2009, bapanya tidak membenarkan Misagh bermain sepenuh masa sehingga dia menghabiskan ijazah sarjana muda. Pada tahun 2011, Misagh akhirnya menamatkan pengajian 'Dentistry' di Universiti Centro Escolar.

PERNAH MENCUBA NASIB DI JEPUN

Walaupun Misagh hanya pernah bermain di Filipina bersama tiga kelab berbeza setakat ini, dia pernah mencuba nasib bersama Tokyo Verdy di Jepun pada tahun 2011. Namun, pasukan J.League itu mengambil keputusan untuk tidak menawarkan kontrak dan Misagh kembali ke Filipina, sebelum menyertai Global FC.

KLINIK PERGIGIAN 

Walaupun Misagh memilih untuk fokus terhadap karier bolasepaknya selepas menghabiskan pelajaran, dia tetap berjaya memenuhi impiannya untuk membuka klinik pergigian di Manila pada awal tahun ini. Selain itu, Misagh turut mempunyai beberapa lagi bisnes di ibu negara Filipina. Dia mempunyai perniagaan teksi di pusat bandar Manila selain memiliki perniagaan makanan Peri-Peri Express.

TEMAN WANITA MODEL

Salah satu sebab Misagh agak popular di Filipina adalah kerana dia merupakan teman lelaki kepada Sam Pinto - model yang cukup terkenal di negara tersebut. Pada tahun 2011 dan 2012, Sam Pinto diberi pengiktirafan oleh majalah FHM sebagai wanita paling seksi di Filipina.