Liga Super Malaysia Berita

AEON BiG penaja eksklusif Liga Malaysia 2023

AEON BiG muncul sebagai sebagai penaja eksklusif Hypermarket untuk Liga Malaysia bagi musim 2023.

Ini kali pertama syarikat pasaraya besar terkemuka yang merupakan anak syarikat milik Aeon Co. dari Jepun itu menaja liga bola sepak profesional di negara ini.

“Melalui penajaan ini, kami ingin berada lebih dekat dengan pelanggan kami melalui sukan bola sepak,” kata Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

“Tiada apa yang dapat menyatukan rakyat lebih baik daripada sukan. Kami juga akan membawa tawaran eksklusif, promosi dan pengalaman baru untuk pelanggan kami melalui kerjasama baru ini.”

Bagi Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, kehadiran AEON BiG memberi signal cukup baik buat Liga Malaysia.

“Liga ini berdedikasi untuk mempromosikan dan membangunkan Liga Malaysia, dan perkongsian ini akan membolehkan mereka menjangkau penonton yang lebih luas dan menyediakan lebih banyak peluang yang menarik kepada pemain, penyokong dan komuniti.

“MFL dan juga Rakan Kongsi Liga mengambil keputusan besar untuk melakukan penstrukturan semula Liga Malaysia dan antara fokus utama adalah untuk meningkatkan lagi profil Liga Malaysia.

“Bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini dan juga satu industri sukan yang besar jadi kami memerlukan sokongan dan penglibatan syarikat-syarikat korporat untuk melonjakkan lagi industri ini justeru saya amat mengalu-alukan sokongan AEON BiG terhadap Liga Malaysia.”

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam melahirkan rasa bangga apabila syarikat pasar raya besar terkemuka Malaysia seperti AEON BiG yang berkongsi misi yang sama untuk memperluaskan lagi rangkaian promosi dua hala antara AEON BiG dan juga liga bola sepak tempatan.

“Kita sedia maklum AEON BiG adalah satu jenama besar yang cukup dekat di kalangan komuniti negara ini. Sepertimana kita lihat dedikasi dan keazaman yang ditunjukan pemain-pemain di atas padang, begitu jugalah yang kita akan lihat semangat daripada AEON BiG untuk menyuntik lagi nilai komersial yang lebih tinggi dalam Liga Malaysia.

“Jadi, saya berharap dengan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan oleh AEON BiG bersama MFL dapat merapatkan lagi hubungan antara penyokong-penyokong sepanjang musim ini.”