Malaysia Berita

Kim Pan-gon: 30 pemain yang dipanggil sesuai dengan falsafah permainan dan pelan taktikal

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon mempertahankan 30 pemain yang tersenarai untuk kem latihan pusat minggu hadapan bagi menyertai kejohanan FAS Tri-Nations Series di Singapura, hujung bulan ini.

Ini meskipun 15 daripada 30 pemain yang dipanggil merupakan sebahagian daripada pasukan yang tersingkir dari Piala AFF Suzuki 2020 tahun lalu.

Katanya, panel jurulatih telah menilai pemain berdasarkan kepada prestasi semasa Liga Malaysia dan stastistik serta jumlah minit permainan dalam perlawanan antarabangsa dari 2019 dan 2021.

“Kami telah mengenal pasti hampir 70 pemain,” katanya dalam sidang media semalam.

“Kami mengurangkannya kepada pemain-pemain yang kami percaya sesuai dengan falsafah permainan dan pelan taktikal kami.

“Kami tidak mungkin 100 peratus tepat, tetapi kami akan menganalisa keupayaan mereka dari segi teknikal, taktikal dan tingkah laku profesionalisme.”

Daripada 30 pemain, hanya Nathaniel Shio Hong Wan dan Khair Jones merupakan pemain yang buat pertama kalinya dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Pan-gon mengakui fokus utamanya adalah kepada persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.

“Selepas kem ini, sehingga Jun, kami mempunyai banyak peluang untuk melihat perlawanan liga setiap minggu, jadi kami mungkin mendapatkan maklumat yang lebih banyak mengenai pemain dari semasa ke semasa.

“Jadi kami meminta daripada media dan peminat, sila sokong kami, tunggu dahulu dan kemudian kami akan cuba memilih yang terbaik untuk Malaysia.”

Malaysia dijadualkan bertemu Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac di Stadium Nasional Singapura, sebelum bertemu pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.