Liga Premier Malaysia Berita

Norizam selesai bayar hutang pasukan Kelantan tahun ini

Pengurus Operasi Team Red Warriors Sdn Bhd (TRW Sdn Bhd), Jamilulail Jamiludin mengesahkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sudah melunaskan segala bayaran barisan pemain dan pegawai pasukan sehingga akhir tahun ini.

Ini termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pemain dan pegawai yang bersama pasukan ketika ini.

“Bayaran itu dibuat sejak Norizam mengambil alih Kelantan FC melalui langkah penswastaan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL),” katanya dalam satu kenyataan.

“Ia usaha pihak kami bagi memastikan kebajikan pemain Kelantan FC terbela dan secara tidak langsung membuktikan kesungguhan kami melalui pemilik Norizam bagi memastikan Kelantan FC bebas dari bebanan hutang yang sudah tentu akan memberi kesan negatif pada pasukan.”

Norizam sebelum ini mengambil alih pasukan Kelantan menerusi pembelian saham sebanyak RM3 juta dengan RM3.8 juta didahulukan kepada KAFA untuk menyelesaikan segala tunggakan yang perlu disegerakan.

Jamilulail menganggap dengan penyelesaian tunggakan gaji itu, para pemain boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada saingan Piala Malaysia musim ini.

“Kami yakin pemain akan lebih memberikan tumpuan..tidak lagi perlu memikirkan soal masalah gaji yang sering menghantui mereka sebelum ini.

“Kami mahu Kelantan melangkah lebih jauh dalam saingan TM Piala Malaysia dengan pemain dapat memberikan persembahan terbaik.”