JDT memulakan kempen AFC Champions League 2020 dengan kekalahan 5-1 kepada pendatang baharu, Vissel Kobe di Stadium Misaki Park, Jepun.
Peluang demi peluang yang dicipta oleh Andres Iniesta membantu Vissel Kobe meraih kemenangan pertama dalam penampilan pertamanya di ACL2020.
JDT mula bolos pada minit ke-13 apabila Iniesta menghantar bola dari jarak jauh membolehkan Ogawa menjaringkan gol pertamanya.
Bagaimanapun JDT berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Safawi Rasid pada minit ke-27 selepas bola didapati terkena tangan Thomas Vermaelen dalam kotak penalti.
Namun hanya seminit kemudian, Vissel Kobe kembali di depan menerusi Kyogo Furuhashi, dengan kedudukan kekal 2-1 di separuh masa pertama.
JDT semakin ketinggalan apabila Ogawa menjaringkan gol keduanya pada minit ke-58 hasil hantaran Iniesta dan Gotoku Sakai.
Pemain import Vissel Kobe, Douglas menambah penderitaan JDT apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-65.
Iniesta sekali lagi menyerlah apabila hasil hantarannya disudahkan oleh Ogawa pada minit ke-72, melengkapkan hatrik pertamanya musim ini.
JDT akan bertanding dalam Piala Sumbangsih menentang Kedah pada 28 Februari, sebelum menyambung kempen ACL bertemu Suwon Bluewings pada 3 Mac depan.