Malaysia Kolum

Aidil puas hati persembahan anak buah

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan para pemainnya dalam aksi final yang menyaksikan mereka tewas 3-0 keatas Johor Darul Ta’zim (JDT).

Walaupun tanpa tiga tonggak utama dalam senarai kesebelasan pemain, namun pengendali dari Singapura ini tidak mahu jadikan itu sebagai alasan. Beliau turut bertanggungjawab diatas kekalahan pasukan.

‘Kami kehilangan tiga pemain di barisan pertahanan termasuk Azmeer Yusof yang terpaksa dikeluarkan pada awal babak pertama. Tiga pemain baru kecuali Shakir Hamzah yang merupakan pemain utama. Ia sememangnya sukar tetapi pemain tetap menunjukkan persembahan cemerlang’, menjawab kepada persoalan wartawan.

Menurutnya lagi, gol kedua yang dijaringkan Safawi Rasid juga membunuh semangat anak buahnya diatas padang. ‘Saya tak mahu komen mengenai gol tersebut. Pengadil ada disitu. Pengadil juga telah membuat keputusan. Kami perlu menghormati keputusan itu’, responnya ketika ditanya mengenai gol sepakan percuma kontroversi Safawi Rasid.

Kehilangan khidmat mesin pencetak gol Kedah, Fernando Rodriguez ternyata dirasai apabila Kedah gagal untuk membolosi gawang gol JDT yang dikawal rapi oleh Farizal Marlias. Penyerang Sepanyol itu dilanda kecederaan pada saat akhir dan terpaksa diketepikan dalam perlawanan akhir Sabtu lalu.

Beliau yakin dan percaya bahawa skuad Helang Merah mampu untuk tampil lebih garang pada musim hadapan. Musim ini akan menjadi titik tolak untuk Kedah mencapai lebih banyak kejayaan setelah segala kelemahan diperbaiki.