Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perlis, Hamizan Hassan menganggap penyelesaian terbaik bagi mengatasi kemelut kewangan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) adalah dengan membubarkan pasukan Perlis buat sementara waktu.
Katanya, itu jalan terakhir yang terpaksa diambil persatuan jika mereka tidak mampu untuk meneruskannya lagi.
“Saya dimaklumkan kali terakhir pemain dan staf menerima gaji adalah pada Mac lalu. Sehingga kini PFA masih belum mempunyai presiden selepas individu sebelum ini meletakkan jawatan.
“Malah jawatan timbalan presiden juga kosong. Sekiranya ahli persatuan tidak mampu teruskan ia mungkin akan terbubar sehingga satu tempoh kita dapat gilap semula bakat baru dan pada masa yang sama akan ada pengurusan baru yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kewangan kerajaan negeri yang terhad selain faktor perubahan lanskap politik membuatkan pihaknya tidak dapat membantu PFA dari sudut kewangan.
“Bola sepak bukan tidak diutamakan tetapi kita mempunyai perkara lain yang perlu diberi keutamaan.
“Kami membantu PFA dari sudut lain dengan memberi bantuan seperti menyediakan stadium dan padang untuk kemudahan pemain secara percuma serta hasil kutipan tiket juga menjadi hak PFA sepenuhnya,” katanya.
Kenyataan Hamizan ketika ini mengundang pelbagai reaksi dari penyokong Perlis yang rata-rata kurang bersetuju dengan keputusan untuk membubarkan pasukan.
Malah, disebabkan masalah kewangan PFA yang meruncing, PFA melancarkan Tabung Khas Dana Persatuan Bolasepak Perlis bagi membolehkan peminat setia dapat memberi sumbangan ikhlas untuk membantu meringankan beban persatuan.